Melalui laporan Sinar Harian, baru-baru ini, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tampil bersuara dengan meminta pihak polis menjalankan siasatan ke atas ugutan serta ancaman kepada penunggang basikal, hingga ada yang menghasut agar pengguna jalan raya melanggar mereka secara sengaja.
Ada yang ugut nak langgar secara sengaja
Menurut Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, penunggang basikal turut mempunyai hak secara undang-undang untuk mengguna jalan raya.
Penunggang basikal juga berhak sebagai satu kumpulan pengguna jalan raya dan apa-apa kemalangan yang disengajakan kepada mana-mana penunggang basikal menggunakan kenderaan bermotor boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Penunggang basikal berhak guna jalan raya
Katanya lagi, aktiviti berbasikal dibenarkan di atas jalan raya kecuali terdapat larangan khusus selepas proses pewartaan seperti di lebuh raya atau papan tanda yang melarang aktiviti itu dilakukan.
PKBM juga menyarankan penunggang basikal supaya sentiasa bersifat berwaspada untuk memitigasi risiko kemalangan dengan kenderaan bermotor, lebih-lebih lagi di laluan yang digunakan oleh kenderaan berat dan menasihati penunggang basikal untuk tidak bertindak agresif serta bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya yang lain.
Sebelum ini, tular satu video di platform media sosial memaparkan sekumpulan penunggang basikal dengan seorang pemandu bas bergaduh disebabkan insiden menghalang laluan di Kuala Selangor.