Pentingnya Bantu Orang Lain Yang Dalam Kesusahan Walau Terdedah Risiko Ditipu

Trending

Pentingnya Bantu Orang Lain Yang Dalam Kesusahan Walau Terdedah Risiko Ditipu

Pagi tadi saya memandu ke tempat kerja di Kompleks TUDM Bukit Kubong, Labuan. Petrol sudah berada pada tahap ‘nazak’, berkelip-kelip nampaknya meter petrol minta diisi.

Advertisement

Rancangnya mahu singgah mengisi di stesen Petronas.

Belek dompet, duit ada RM1 dalam beberapa keping sahaja.

Lupa pula hendak keluarkan duit malam semalam. Disebabkan tiada wang tunai, saya nekad untuk gunakan kad kredit. Lokasi mesin juruwang automatik (ATM) agak jauh, takut pula tak sempat sampai.

Sampai sahaja di Stesen Petronas Jalan Tun Mustapha, saya meluru ke meja kaunter.

Saya dilayan oleh staf yang memakai tag nama ‘Asmah’. Semasa membuat pembayaran, saya serahkan kad kredit. Beberapa saat menunggu, rupanya sistem dalam mod luar talian (offline), menyebabkan kad kredit tersebut tak dapat digunakan.

Saya buntu.

Bila dikira wang dalam dompet, hanya ada RM3. Saya mula menyalahkan diri sendiri. Disebabkan kecuaian, saya terhimpit dalam masalah yang dicetuskan sendiri. Itulah risiko jika kita bergantung secara total pada kad kredit.

Tiba-tiba Asmah bersuara memecah sunyi, mencadangkan jalan penyelesaian.

“Tak apa. Biar saya bayar guna duit saya dulu.” Asmah mencadang.

Saya terkesima.

Perasaan serba salah mula terbit di hati. Dalam masa yang sama, saya ragu-ragu. Sampai begitu sekali Asmah menawarkan bantuan. Dia tak kenal saya pun, dan saya pun tak kenal dia.

“Nanti bila-bila tuan datanglah bayar pada saya.” Asmah menyambung bicara sambil tersenyum.

Dalam keadaan tergesa-gesa, saya mengangguk tanda setuju.

Nilai petrol yang tertera berjumlah RM30. Setelah saya ucapkan terima kasih, saya berjanji akan berjumpa dengan dia secepat mungkin untuk melunaskan hutang.

Selesai mengisi, saya meneruskan pemanduan.

Bermacam-macam perkara yang menjengah di fikiran. Betapa pemurahnya Asmah yang sedia untuk mendahulukan wangnya, sedangkan saya langsung tidak dikenalinya. Bagaimana pula jika saya tidak jujur dan enggan membayar semula wang yang telah dipinjamkan?

Terharu saya bila difikirkan!

Asmah benar-benar membuka mata saya tentang pentingnya konsep membantu orang lain yang berada dalam kesusahan walaupun terdedah pada kebarangkalian untuk dibohongi dan dizalimi.

Tinggi sungguh tahap tawakalnya!

Mungkin ada yang berkata bahawa Labuan ini adalah sebuah pulau semata-mata. Ke mana pergi, pasti ada yang mengenali. Kalau saya ‘lari’ sekalipun, kelak akan dicari sampai jumpa juga.

Bukan itu isu pokoknya.

Persoalannya, adakah kita sanggup untuk menolong orang yang asing dari sisi kita. Bukan keluarga kita, bukan saudara kita, bukan kawan kita malah bukan jiran tetangga kita. Pasti ada rasa teragak-agak juga, apalagi dalam hal yang melibatkan wang.

Setahun setengah saya bertugas di Labuan, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa masyarakat di sini baik belaka. Ringan tulang, saling menghormati serta mesra dan peramah.

Kepada Asmah, saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Saya doakan Asmah agar terus sukses dalam kehidupan. Majikan Asmah sepatutnya memberikan penghargaan kepadanya. Kerana akhlak yang ditampilkan sangat memikat. Cukup tenang dalam menangani situasi, sedia untuk menolong dan tidak lokek dengan senyuman!

Stesen minyak Petronas Jalan Tun Mustapha, anda beruntung kerana mempunyai pekerja seperti Asmah!
Sabah, anda beruntung kerana mempunyai anak jati seperti Asmah!

Coretan rasa,
Dhany Sarip
Anak jati Pahang, musafir di Labuan.

*Asmah yang memakai cermin mata dan buat lambang ‘peace’. Malu dia bila diajak bergambar.

Kredit : Dhani Sarip

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...