Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, mendedahkan bahawa sektor makanan dan minuman (F&B) serta penginapan dikesan sebagai antara majikan paling degil dan liat mendaftar serta mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menurut laporan Harian Metro, sektor tersebut mencatatkan kadar ketidakpatuhan tertinggi sejak tahun lalu, dengan 880 kes direkodkan melibatkan kompaun dan pendakwaan. Turut tersenarai dalam kelompok ‘liat mencarum’ ialah premis penyelenggaraan kenderaan dan salun kecantikan (658 kes), diikuti sektor pengeluaran dengan 590 kes.
Sudah menjadi tanggungjawab majikan menjaga kebajikan pekerja tetapi tidak tahu dan kurang arif menjadi alasan mereka.
Selain itu, ada juga majikan yang tidak mendaftar dan mencarum kerana mahu menjimatkan kos dan ini menunjukkan mereka pentingkan diri sendiri kerana mahu mengaut keuntungan hingga mengabaikan pekerja sendiri.
Sebagai usaha membendung ketidakpatuhan yang berterusan, PERKESO melancarkan Bulan Pemutihan dari 1 hingga 30 April ini — satu peluang keemasan bagi majikan untuk mendaftar tanpa dikenakan kompaun, pendakwaan, atau Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).
Tahun ini sudah kali ke-16 Ops Kesan bakal diadakan, namun malangnya kadar ketidakpatuhan masih dalam lingkungan 13 hingga 17 peratus saban tahun.
Paling mengejutkan, kata Dr. Azman, ada dalam kalangan majikan culas ini terdiri daripada individu berpelajaran yang sepatutnya lebih arif tentang tanggungjawab mereka sebagai pemberi kerja.
Mereka dikenal pasti sebagai majikan yang pentingkan diri sendiri, tamak, hanya mahu kaut keuntungan, pada masa sama mengabaikan kebajikan para pekerja.
Dengan pendedahan ini, PERKESO menggesa semua majikan, terutamanya daripada sektor yang dikesan culas, supaya tampil mendaftar dan mencarum demi melindungi masa depan pekerja mereka.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.