Pentagon secara rasmi telah mendedahkan tiga video yang menunjukkan “fenomena udara yang tidak dikenali” yang sebelum ini telah ditularkan oleh To The Star Academy of Arts & Science sekitar Disember 2017 dan Mac 2018.
September tahun lalu klip video yang memaparkan sebuah objek misteri yang bergerak pantas merentasi udara, disahkan tulen oleh pasukan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS).
Terdapat ‘Gangguan’ Semasa Latihan
Jurucakap Tentera Laut AS, Joseph Gradisher memberitahu bahawa ketiga-tiga video itu dirakam semasa latihan ketenteraannya.
“Ketiga-tiga video ini menunjukkan objek terbang misteri yang tidak dikenali semasa latihan ketenteraan kami,” katanya.
Salah satu video itu memaparkan objek gelap berbentuk pil merentasi ruang udara selama beberapa saat sebelum ia hilang dari rakaman.
Manakala, satu lagi video menunjukkan pasukan tentera cuba merakam pergerakan objek tidak dikenali itu menggunakan sistem sensor khas daripada pesawat.
Malah, di dalam video berkenaan juga terdapat perbualan di antara pasukan tentera yang bingung dengan penemuan objek berkenaan.
Salah satu daripada video tersebut dirakam pada 2004 manakala dua lagi dikatakan berjaya dirakam pada tahun 2015.
Sebelum ini, Pentagon menegaskan video itu perlu disekat agar ia tidak terus disebar luas kepada masyarakat awam berikutan ia adalah sesuatu yang sulit.
Program ‘Rahsia’ Kerajaan Bagi Kajian UFO
Pentagon sebelum ini telah mengkaji rakaman objek yang tidak dikenali ini melalui program ‘rahsia’ yang dilancarkan atas arahan bekas Senator Harry Reid dari Nevada. Menurut Pentagon, program ini dilancarkan pada tahun 2007 dan berakhir pada tahun 2012, kerana dana program ini perlu diberikan kepada keutamaan lain yang lebih memerlukan.
Reid, Isnin lalu melalui tweeternya berkata, dia gembira Pentagon telah mengeluarkan video ini secara rasmi, walaupun hanya menyentuh tentang dasarnya sahaja.
“Amerika Syarikat perlu melihat secara serius dan ilmiah mengenai perkara ini dan apa-apa potensi implikasi ke atas keselamatan negara.”
-Harry Reid
Kita Mungkin Tidak Bersendirian
Pada tahun 2017 Luis Elizondo, bekas ketua program rahsia ini, mengatakan bahawa dia secara peribadi percaya ada bukti yang sangat bahawa mungkin kita tidak bersendirian.
“Pesawat ini menunjukkan ciri-ciri yang tidak ada dalam inventori Amerika Syarikat dan juga inventori negara lain yang diketahui Pentagon setakat ini,” kata Elizondo mengenai objek yang dikaji mereka.