Demi mencari rezeki untuk keluarga, seorang penjual aiskrim ditemui meninggal dunia dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Lelaki tua itu meninggal di atas motorsikal yang digunakannya untuk menjual aiskrim. Difahamkan, dia ditemui tidak bergerak di atas motornya itu oleh kerana terlalu penat mencari rezeki.
Di dalam kejadian itu, orang awam menemui penjual aiskrim itu yang tetap berada di atas motornya dan tidak mengalihkan kenderaannya walaupun selepas dihon. Dia dan motorsikalnya itu telah menghalang sebuah jalan dan apabila orang awam turun melihatnya, ternyata dia sudah kaku tidak bernyawa di atas motor.
Mengadu letih
Penjual aiskrim yang berusia 66 tahun itu dilaporkan menetap di Dusun Talunongko Desa Ledok Ombo Kec Sumber, Probolinggo, Indonesia. Menurut keluarganya, sebelum ini dia pernah mengadu pening kepala dan sesak nafas yang mana mungkin disebabkan terlalu letih mencari rezeki.
Orang awam yang menemuinya juga memberitahu tiada kesan-kesan rompakan pada penjual aiskrim itu kerana barang peribadinya yang lain masih ada padanya. Walaupun sudah berusia, dia masih lagi gigih mencari rezeki untuk keluarganya dengan menjual aiskrim.
Kisah ini pastinya boleh dijadikan iktibar dan pengajaran untuk kita sentiasa menghargai mereka yang gigih mencari rezeki untuk keluarga. Perkongsian ini juga telah menyebabkan ramai netizen berasa kagum dengan kesungguhan lelaki ini membantu keluarganya.