Penjenayah Duke Dihukum Penjara 3 Tahun, Bagaimana Pula Nasib Anak-Anak Mangsa?

Trending

Penjenayah Duke Dihukum Penjara 3 Tahun, Bagaimana Pula Nasib Anak-Anak Mangsa?

Dua pemandu Perodua Myvi dihukum penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam selepas didapati bersalah memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian tiga beranak, dalam nahas di Lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE) tiga tahun lalu.

Majistret Zilfinaz Abbas membuat keputusan itu terhadap Siti Noor Aini Mohd Said, 38, dan Mohamad Fizal Reza Jamauddin, 33, selepas mendapati pembelaan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Advertisement

Selain itu, Siti Noor Aini dan Mohamad Fizal Reza juga hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun dan mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya menjalani hukuman penjara tambahan dua tahun sekiranya gagal membayar denda.

Ketika membuat keputusan itu, Zilfinaz berkata, mahkamah sangsi terhadap penjelasan dan tidak dapat menerima keterangan kedua-dua tertuduh.

“Keterangan kedua-duanya tidak konsisten dan bersifat penafian semata-mata.”

“Kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan disabitkan bersalah,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Omar Bakhi Ahmad yang mewakili Siti Noor Aini dan SN Seelan yang mewakili Mohammad Fizal Reza supaya hukuman penjara ke atas anak guam mereka ditangguhkan kerana akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Namun kedua-duanya membayar denda yang ditetapkan.

Mengikut pertuduhan, Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal Reza didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka yang berusia enam bulan, Nur Firuza Annisa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 6, DUKE, arah Ulu Klang ke Jalan Duta, di sini antara jam 12.31 tengah malam dan 1.05 pagi, 2 Mei 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5000 hingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pada 10 November tahun lalu, kedua-duanya diarah membela diri selepas mahkamah mendapati terdapat prima facie ke atas pertuduhan yang dihadapi mereka.

Tragedi menyayat hati itu tular di media massa dan media sosial tiga tahun lepas yang menyebabkan dua lagi anak mangsa

Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila, yang ketika itu berusia tujuh dan tiga tahun jadi yatim piatu selepas kehilangan ibu dan ayah mereka dalam nahas tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norakmal Farhan telah mengemukakan seramai 18 saksi di peringkat pendakwaan manakala pembelaan memanggil dua saksi.

Namun ada persoalan yang timbul.

Walaupun penjenayah telah dihukum 3 tahun penjara tetapi bagaimana pula dengan nasib anak-anak mangsa? Adakah mereka telah dapat pembelaan yang sewajarnya atau masih dibiar sepi?

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...