Gelaran Syed dan Syarifah merujuk kepada individu yang dipercayai mempunyai susur galur keturunan sehingga kepada Rasulullah SAW, dan dikenali sebagai sebahagian daripada Ahlul Bait.
Memetik perkongsian daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahlul Bait menurut pandangan Ahli Sunnah merangkumi isteri-isteri Rasulullah SAW, anak menantu Baginda, serta kaum kerabat daripada keturunan Bani Hashim dan Bani Muttalib.
Menurut penjelasan tersebut, seseorang tidak semestinya perlu menggunakan gelaran Syed atau Syarifah untuk diiktiraf sebagai Ahlul Bait sekiranya mereka mempunyai bukti sah berkaitan susur galur keturunan.
“Barang siapa yang mempunyai bukti bahawa susur galur keturunannya sampai kepada Rasulullah SAW melalui jalur-jalur di atas, maka mereka berhak dianggap sebagai ahlul bait walaupun nama mereka tidak mempunyai gelaran syed mahupun syarifah.”
Sementara itu, pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa kewujudan Syed dan Syarifah sebagai keturunan Rasulullah SAW merupakan hakikat yang diakui dalam sejarah Islam.
“Insya-Allah, betul. Melainkan dia letak nama Syed, Syarifah sendiri.”
Namun begitu, isu ini sering mencetuskan persoalan dalam masyarakat apabila ada yang mempertikaikan mengapa keturunan tertentu dianggap lebih mulia sedangkan Islam menegaskan semua manusia diciptakan sama di sisi Allah SWT.
Islam menjelaskan bahawa kepelbagaian keturunan, qabilah dan keluarga adalah sebahagian daripada sunnatullah, bukan untuk bermegah atau merendahkan sesama manusia.

Sehubungan itu, Islam tidak mengajar seseorang untuk menganggap dirinya lebih mulia hanya kerana bergelar Tengku, Wan, Syed atau Syarifah, apatah lagi menjadikan faktor keturunan sebagai alasan untuk memandang rendah orang lain atau menolak perkahwinan tanpa sandaran jelas daripada al-Quran dan hadis.
Islam menegaskan bahawa semua manusia berasal daripada keturunan Nabi Adam AS dan tiada satu keturunan pun yang lebih hina atau lebih mulia semata-mata kerana nasab.
“Islam menegaskan bahawa semua manusia berasal daripada keturunan Nabi Adam AS dan tiada satu keturunan pun lebih hina daripada yang lain.”
Namun begitu, kemuliaan Rasulullah SAW sebagai rahmatan lil ‘alamin adalah ketetapan Allah SWT yang tidak boleh dipertikaikan. Baginda merupakan makhluk paling mulia di sisi Allah, dan kemuliaan tersebut memberi manfaat serta rahmat kepada seluruh umat manusia.
“Oleh kerana kemuliaan Nabi Muhammad yang merupakan rahmatan lil ‘alamin, Baginda adalah rahmat sekalian alam.”
“Maknanya, semua ini menyebabkan kita dapat kasih sayang Allah. Allah titahkan Nabi Muhammad paling istimewa. Boleh ke kita pertikaikan? Mestilah tidak boleh.”
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
