Minggu lalu, kecoh di laman sosial tentang luahan rasa tidak puas hati salah seorang stokis Naelofar Hijab milik Neelofa. Biasalah bila berniaga akan timbul macam-macam dugaan serta cabaran. Apa yang penting ialah bagaimana kita menghadapi cabaran dan dugaan tersebut. Adakah kita akan melatah? Adakah kita akan mengamuk? Adakah kita akan berdiam diri? Abang Nara suka dengan cara Neelofa yang telah membuat penjelasan panjang lebar menerusi kolum “Nota Neelofa” di Metro Ahad semalam.
Abang Nara cuma ambil beberapa bahagian yang penting sahaja. Kalau nak baca yang full, bolehlah pergi belek semula Metro Ahad semalam. Tulis Neelofa:-
Lofa hendak tegaskan awal-awal yang ini hanyalah penjelasan Lofa. Tiada niat Lofa untuk menghentam atau menunding jari siapa yang salah atau pun betul. Diharapkan dengan penjelasan Lofa ini, sedikit sebanyak mampu menjernihkan keadaan dan persoalan yang bermain di pemikiran peminat dan penggemar Naelofar Hijab.
Mula-mula Lofa dapat tahu akan hal ini, memang Lofa sedikit kecewa dan marah. Bukan marah dengan si pengadu. Lofa terlebih dulu marah dengan kakitangan Naelofar Hijab. Bagaimana perkara seperti ini boleh timbul? Bagi Lofa, jika ada aduan, pasti ada kelompongan di mana-mana. Tapi marah Lofa tidaklah sampai mengamuk atau bertindak di luar batasan. Lofa ambil pendekatan untuk siasat dan selidik sendiri akan dakwaan yang timbul.
Tanpa buang masa, Lofa terus siasat sendiri. Nak dipendekkan cerita, dakwaan yang dilemparkan si pengadu ternyata tidak berasas sama sekali. Memang benar individu tersebut merupakan stokis bertauliah Naelofar Hijab. Tetapi selepas dibuat siasatan, stokis tersebut memang mempunyai masalah yang hanya mereka sendiri tahu.
Lofa tidak mahu jelaskan apa masalah stokis tersebut kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan, cuma pesan Lofa kepada mereka yang hendak berurusan dengan pihak ketiga atau mana-ana stokis untuk apa-apa produk sekalipun, agar jangan mudah terpedaya dan termakan janji manis.
Cara terbaik andai anda berasakan si penjual tidak bersikap profesional dan melaksanakan perniagaan mereka di luar daripada kebiasaan, segera batalkan urusan pembelian anda. Kerana kesilapan dan tembelang hampir pecah, si pengadu mengambil langkah mudah dengan meletakkan kesalahan ini di atas bahu Naelofa Hija. Ini semestinya satu perkara yang tidak adil bagi pihak Naelofar Hijab.
Untuk pengetahuan pembaca, untuk menjadi stokis Naelofar Hijab buknalah mudah. Mereka yang berhajat perlulah memenuhi pelbagai syarat yang sudah ditetapkan oleh pihak Naelofar sendiri. Alhamdulillah kini Naelofar Hijab mempunyai lebih 700 stokis berdaftar dan bertauliah. Walaupun proses pemilihan dan perlantikan stokis agak ketat, namun ada ketika kita terlepas pandang perkara kecil. Dan inilah apa yang berlaku kepada Naelofar Hijab.
Bayangkan dengan 700 stokis yang pastinya ia bukan sesuatu yang mudah untuk pihak Naelofar Hijab uruskan. Apabila ia membabitkan 700 stokis bermakna 700 ragam yang perlu kami ikuti rentak mereka setiap hari. Tetapi Alhamdulillah sehingga kini tiada sebarang masalah besar timbul.
Kalau ada pun hanyalah masalah komunikasi yang pantas diselesaikan pihak Naelofar Hijab. Tambah pula di syarikat yang Lofa tubuhkan ini kami percaya stokis adalah nadi utama dan jantung kepada kejayaan kami hari ini. Sekiranya perniagaan lain menitik beratkan strategi pemasaran dengan melaburkan ratusan ribu ringgit untuk tujuan publisiti besar-besaran di dada akhbar ataupun televisyen, di Naelofar Hijab boleh dikatakan kami bergantung kepada konsistensi dan keupayaan stokis kami.
Pemasaran kami lebih bersifat bersahaja dan mesra. Jadi sangatlah mustahuil untuk kami mensia-siakan usaha dan kerja keras para stokis kami. Tanpa stokis, tidaklah Naelofar Hijab berada sehingga ke tahap hari ini. Terkilan memang terkilan, tapi Lofa tidak boleh jadikan ini sebagai satu alasan yang boleh mematahkan semangat.
Lofa harus ingat akan sebab utama jalankan perniagaan ini dan mewujudkan sistem stokis. Lofa percaya akan konsep rezeki di bumi Allah SWT ini ialah rezeki bersama dan perlu dikongsikan. Lofa nak berkongsi rezeki Lofa bersama mereka yang lain, terutamanya kaum wanita.
Alhamdulillah hingga kini banyak maklum balas positif yang sudah Lofa terima. Ada yang dahulunya hanya seorang suri rumah yang bergantung kepada pendapatan suai semata-mata, kini sudah mampu memiliki butik sendiri. Tidak kurang juga yang menjadikan stokis sebagai sumber pendapatan kedua.
Perkembangan ini sememangnya sangat menggembirakan Lofa. Sekurang-kurangnya Lofa mampu menyumbangkan sesuatu kepad amereka. Berjaya atau tidak, itu terpulang kepada individu sendiri. Lofa hanya mampu menyediakan platform sahaja.
Macam Lofa katakan di awal tadi, Nota Neelofa pada minggu ini bukanlah bertujuan untuk menghentam. Ianya hanya medan untuk Lofa menjelaskan apa yang termampu. Lofa hargai kritikan yang diberikan. Berita yang sudah menjadi viral ini semestinya ada sisi positif dan negatifnya.
Sudut negatif, ia membuatkan Lofa mengenali siapa yang lebih ikhlas dalam bekerja atau tidak. Positifnya pula, sekurang-kurangnya ia telah membuka mata Lofa dan mengajar Lofa untuk lebih berhati-hati dan cekap dalam menguruskan perniagaan. Sehingga bertemu lagi, Assalamualaikum.
Abang Nara suka dengan penjelasan Neelofa. Tiada nada marah, geram atau pun tidak puas hati. Yang paling penting ialah Neelofa belajar sesuatu daripada kontroversi ini. Semoga dengannya, sistem pengurusan stokis Naelofa Hijab akan menjadi lebih cekap di masa hadapan. Bukan senang mahu mencari seorang wanita yang hebat berniaga seperti Neelofa di zaman sekarang ini. Teruskan berniaga dan teruskan usaha anda. Semoga semakin dimurahkan rezeki. Amin Sumber Metro Ahad.
UPDATE: Seperti gambar di atas, ada perkembangan terkini daripada pihak Naelofar Hijab sendiri tentang hal ini. Semoga ia dapat membersihkan nama Neelofa dan juga Naelofar Hijab.