Sejak desas-desus Engku Emran sedang mengenali seorang wanita tersebar, ramai yang beranggapan bekas suami Erra Fazira ini begitu cepat berubah hati dan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha memujuk kembali bekas isterinya itu. Malah sebelum itu lagi, punca penceraian antara Engku Emran dan Erra Fazira menjadi perbincangan ramai dengan khabar angin Engku Emran berkahwin dua menjadi salah satu teori paling hangat.
Hari ini menerusi portal miliknya iaitu MalaysianDigest, Engku Emran menulis dengan panjang lebar untuk memberi penjelasan kepada semua. Antaranya penafian berkahwin dua, pengakuan hatinya sudah terbuka untuk wanita lain dan banyak lagi. Semoga dengan pengakuan ini, akan terlerailah segala persoalan yang bermain di minda kita semua.
Hari ini bukan saya mahu dedahkan apa-apa, saya cuma rasa terpanggil untuk memberi penjelasan, berat sebenarnya hati saya untuk beri penjelasan ini kerana perkara ini langsung tidak mengganggu fikiran saya.
Selama ni ramai orang tercari-cari dan hubungi saya untuk mendapatkan penjelasan. Saya bukan elak tapi saya cuma berdiam. Kerana bagi saya berdiam tu lebih baik. Saya pun bekerja dalam bidang media. Buat apa saya nak jumpa orang lain untuk jelaskan sedangkan saya tahu permainan media.
Selepas saya bercerai saya ada berjumpa dengan beberapa kawan media yang saya kenali. Saya beritahu mereka yang saya tidak akan keluarkan apa-apa statment. Allhamdulillah, mereka yang berada sewaktu perjumpaan itu faham, tahu, dan juga menghormati pendirian saya di waktu itu.
Baca artikel ini sepenuhnya untuk membaca dengan lebih lanjut penjelasan bekas suami Erra Fazira ini.
Tetapi selepas saya beri penjelasan tentang apa yang berlaku, ada juga yang berasa sangsi. Ada salah seorang antara mereka yang masih mencanang, mengatakan saya kahwin dua. Apa lagi yang mereka nak saya buat? Apa lagi yang mereka nak saya terangkan? Sebab itu saya kata, tak guna saya beri penjelasan kerana orang tak akan percaya. Hal ni saya serah pada Allah sebab dia Maha Mengetahui.
Sejak semalam juga, saya terdetik hati untuk beri penjelasan hari ini. Itu pun selepas seorang hamba Allah ini yang lebih tua dari saya dan saya hormati, yang lebih tahu tentang hal agama. Beliau nasihatkan, yang mungkin saya patut beri penjelasan sekali lagi yang terakhir supaya orang tidak memfitnah kita walaupun saya telah beri penjelasan, sebelum ini.
Macam inilah…, semasa saya berkahwin dulu, banyak cerita yang tak betul keluar. Macam saya katakan dari awal tadi, saya faham permainan media sebab saya pun orang media.
I know the game too well! Saya dah bagi penjelasan masa itu yang saya tak kahwin dua. Hanya Erra Fazira seorang sahaja isteri saya, pada ketika itu. Tetapi masih lagi orang bercerita. Masih lagi orang tak percaya. Bagi saya, saya dah tunaikan tanggungjawab saya untuk beri penjelasan.
Kadang-kadang kita sebagai orang media, apa saja yang kita tulis, sekali orang was-was dengan penulisan kita, sekali orang meragu, kita sudah dianggap berdosa. Memang… bukan niat kita nak sebarkan fitnah tapi sekali orang percaya, kita sudah mendapat dosa. Sekali kita aibkan org, 10 aib kita orang akan buka. 1 aib orang kita tutup 10 aib kita Allah akan tutup. Peranan media ni penting. Kita yang mempengaruhi masyarakat dengan apa yang kita tulis. Saya bukan mahu mengajar siapa siapa tetapi dari pengalaman selama 14 tahun di bidang ini saya dah memahami sangat-sangat.
Lagi satu contoh…, ya selama ni, selepas waktu bercerai saya rasa ramai tahu yang saya cuba untuk memujuk. Masa saya buat #prayformomandayah tu pun, waktu itu saya cuma harapkan yang terbaik untuk mak dan ayah Aleesya. Tidak semestinya perlu bersatu kembali, tapi saya harapkan yang terbaik. Pernahkah anda terfikir mungkin I’am a desperate father but not a desperate ex husband?
Jika kami tidak kembali bersatu tapi kalau itu yang terbaik, kami terima. Saya percaya Erra pun terima dan dia telah terima.
Jangan fikir saya buat # tu semata-mata nak kembali semula, tidak… Saya ada anak, saya seorang bapa, mungkin kalau saya bukan bapa, saya tak buat.
Tapi saya tahu dan dapat rasa keluhan anak saya. Setiap malam bila saya bila saya tidurkan dia, saya dapat rasakan keluhan dia. Kalian diluar sana tak rasa, tapi saya rasa. Saya lalui, Erra lalui. Anda semua tak faham. Buat apa kami nak bercerita apa yang kami lalui. saya hanya bercerita apa yang saya mampu bercerita.
Dan selepas habis tempoh edah pada 18 Mei lalu, (saya masih ingat tarikh tu sebab saya ingat tarikh saya bercerai). Dan beberapa hari selepas itu keluar cerita gosip Erra dengan seorang lelaki. Bagi saya, kalau cerita itu betul, Alhamdulillah… I wish them all the best, ikhlas saya kata kan ini.
Tetapi jikalau perkara itu tidak betul, anda semua tahu saya yang sedang cuba untuk bina masjid saya semula dan jika apa yang anda tulis itu tidak betul, MasyaAllah…
Kerana disebabkan cerita yang keluar itu, disebabkan cerita yang anda tulis tu juga lah, saya move on. Saya bersedia untuk pergi.
Jadi, jangan salahkan saya. Sebab itu saya katakan tadi, sebagai pengamal media, apa yang kita tulis itu sangat-sangat bahaya. Tapi seperti yang saya katakan, kalau ianya betul, Alhamdulillah, I wish them all the best. Tetapi jangan salah faham juga, saya tidak menyalahkan mana mana media sebab apa yang telah tersiar adalah kerja Allah. Jika Allah tidak buka kan hati anda untuk menulis cerita itu maka cerita itu pun tidak akan tersiar diakhbar dan blog blog.
InsyaAllah… sekurang-kurangnya seperti ramai yang orang kata, saya dah cuba lebih daripada apa yang patut saya buat.
Jadi, bagi yang menulis cerita itu, anda fikirlah… andai kata cerita itu tidak benar, anda telah menyebarkan fitnah dan disebabkan fitnah itu juga lah, saya telah berundur.
Kepada peminat-peminat Erra Fazira, saya tahu anda marahkan saya atau ada di antara anda yang marahkan saya. Tapi jangan salahkan saya atau Erra Fazira. Kerana anda mesti ingat, saya menunggu…menunggu… menunggu… dan menunggu. Sampai bila saya nak tunggu? Ada antara anda yang kata, kenapa sekejap sangat berubah hati? Ini bukan sekejap.
Kami sudah berpisah selama setahun setengah, bercerai hampir 5 bulan. Kalau dicampurkan tempoh itu, hampir 2 tahun. I need to move on.
Penat jadi seorang bapa tunggal, memang penat. Tapi saya tak mengeluh. Saya tahu ini ujian dari Allah, saya tak mengeluh. Dan Alhamdulillah… selepas saya mendapat petunjuk (menerusi apa yang ditulis di akhbar, portal dan blog) sudah waktu nya untuk beredar.
Dan Alhamdulillah juga, ada hamba Allah yang mengetuk pintu hati saya. Dan bila saya buka pintu hati saya, Alhamdulillah,apa yang saya lihat selama ini ialah yang saya impikan.
Tak perlulah saya beritahu siapa orang itu. Tapi cukup lah saya beritahu, wanita tersebut mengetahui tentang hal agama lebih daripada saya dan dia beragama Islam.
Memang beberapa hari lepas saya ada bekongsi sedikit tentang apa yang saya rasa ketika ini. Ya, saya rasa gembira, saya ni manusia biasa. Saya bukan selebriti. Saya tak pernah anggap diri saya ni selebriti. Memang saya pernah berkahwin dengan selebriti. Ya, tapi saya bukan selebriti. Saya seperti anda semua orang biasa dan saya tak perlu hidup sebagai selebriti wakalupun saya dikenali. Itu prinsip saya, selagi saya tak kacau orang, selagi saya hormati semua orang dan saya menghormati Allah, bagi saya itu sudah cukup.
Berkenaan dengan laman sosial Instagram (IG) saya, IG ini ialah seperti cacatan jurnal, supaya satu hari nanti Aleesya dapat membaca sedikit sebanyak dan mungkin dia boleh belajar tentang kehidupan melalui jurnal saya ini.
Sebab itu juga, jika anda lihat banyak gambar dan momen yang saya upload. Mungkin anda rasa saya tak patut dedahkan banyak perkara. Tapi benda ni saya buat ada sebab bertujuan, supaya satu hari nanti Aleesya dapat lihat tempat yang saya bawa dia, yang saya pergi tanpa dia.
Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tidak. Tak pernah terlintas sebegitu. Ini semua untuk jadi rujukan untuk Aleesya bila dia dewasa nanti. Dan saya juga gembira sebab ramai pengikut saya di IG gembira melihat Aleesya. Ramai juga yang berdoa untuknya, Alhamdulilah, saya berterima kasih. Tak sangka begitu ramai orang berdoa untuk Aleesya. Sesungguhnya dia seorang anak yang sungguh bertuah.
Bagi saya tak perlulah kita menyalahkan sesiapa. Ini semua telah ditentukan oleh Illahi. Anda pun telah mendoakan untuk saya, Erra dan Aleesya dan mungkin ini adalah jawapannya. Ini adalah jawapan kepada doa-doa anda semua. Jadi tak perlu toleh ke belakang.
Kita sama ambil ikhtibar dari pengajaran hidup masing, jika saya tak dapat selamatkan rumah tangga saya untuk anak saya, saya harap anda semua dapat selamatkan rumah tangga anda melalui apa yang anda lihat di IG saya.
Itu saja yang saya harapkan. Selepas ini tak perlu lah ada akhbar atau blog yang buat follow up story ini. (jika ada jugak saya tak tahu apa lagi lah nak kata) Banyak lagi berita penting diluar sana yang patut kita laporkan. Saya ni tak penting. Banyak lagi orang di luar sana yang memerlukan pertolongan. Orang yang perlukan pertolongan tentang hidup dan mati. lebih elok kita bantu mereka dari buat cerita tentang kehidupan kami. Cukup, cukup lah!
Saya ada mak bapak, Erra juga masih ada mak dan nenek. Jika anda semua tak dapat menghormati saya dan Erra hormatilah keluarga kami. Kalau saya boleh beri penghormatan ikhlas kepada bekas isteri saya siapalah anda untuk tidak respect privacy dia. Hubungan kami sekarang hanya lah sebagai ibu bapa kepada Aleesya. Kami berdua baik baik sahaja Alhamdulillah we can also communicate well on matters pertaining to Aleesya. I have my own private life and so does Erra and we both have so much respect for each other.
Pada mereka yang masih tak puas hati lagi, saya tak tahu apa lagi nak kata sebab manusia ni adalah sebaik-baik kejadian Allah. Dan, anda yang tak puas hati tu pun adalah sebaik-baik kejadian Illahi. Saya tak salahkan anda sebab dah memang Allah jadikan anda begitu. Saya ni tak lah pandai sangat dalam hal agama tetapi saya tahulah sikit sikit. Anda solat 5 waktu saya pun solat 5 waktu jadi fikir fikirkan lah.
Saya tak mengambil kesempatan atas kedudukan saya di Malaysian Digest tetapi saya rasa inilah tempat yang paling baik untuk saya berkomunikasi dengan anda semua untuk penjelasan ini. Dan juga saya rasa ini lebih elok kerana saya dapat pantau apa yang saya cakap dan supaya kata-kata saya tidak disalah tulis. Ini juga adalah PENJELASAN TERAKHIR saya.
Sekian wassalam.