Kontra dengan pemahaman umum pada bulan Ramadan di mana majoriti masyarakat Malaysia yang beragama Islam akan berpuasa, pada bulan yang mulia ini juga semua orang akan berfikir tentang makanan.
Kalau pada bulan-bulan biasa, kita tidak teruja tentang nasi impit, satay dan kuah kacang; ketupat, serunding dan rendang daging; martabak, roti canai dan roti John; nasi lemak, tomato, ayam dan sebagainya, tetapi pada bulan Ramadan, tidak kira yang berpuasa atau tidak, pasti akan terkenangkan semuanya.
Samalah juga dengan saya walaupun bukan beragama Islam, bulan puasa paling mengujakan apabila tawaran makanan dan minuman begitu banyak tidak terkira variasinya.
Sebaik pulang dari kerja, ibu orang pertama yang ajak pergi bazar Ramadan.
Boleh kita pergi bazar puasa sekejap? Semalam anak kamu minta puding warna merah. Mak nak try roti bom. Kita pegi bazar Seksyen 18 ye?
Hampir setiap hari ada sahaja senarai makanan yang mahu dicuba ibu.
Tetapi bukan selalu saya ada masa.
Sesekali, saya terpaksa melayan karenah ibu yang seakan keanak-anakan. Cuma saya ingatkan dia supaya tiada makanan yang dibeli secara berlebihan atau dibuang kelak.
Setiap kali berada di bazar, biasanya pada waktu hampir berbuka, saya tertanya-tanya apa yang berlaku pada makanan berlebihan yang tidak terjual itu. Soalan lazim yang saya percaya bermain di fikiran semua orang.
Ada peniaga yang bertindak membungkus semua makanan dan membawa balik. Mungkin juga dihantar ke mana-mana, saya kurang pasti. Tetapi saya percaya ia dihantar ke sesuatu tempat melihat kepada lagak bungkusnya.
Ada pula peniaga yang akan menjual pada harga ‘promosi’. Itu yang paling best, sebab beli nasi beriani ayam dapat nasi sahaja free satu. Beli lima kuih dapat tiga free. Beli dua bungkus dapat satu bungkus free. Seronok sangat!
Namun, daripada pemerhatian saya, sangat sedikit yang akan memberikan makanan langsung secara percuma, atau hampir tiada. Pakcik dan kakak yang jual air lagilah, saya pernah nampak mereka buang air dalam longkang besar begitu sahaja.
Naluri seorang wartawan, saya mendekati seorang penjual air. Waktu itu sudahpun berbuka puasa dan abang yang sedang jual air sudah relaks. Sambil minum air jus (mungkin tembikai) dia menegur saya, “adik nak air ape?”
Saya pun bagitau, air kelapa dua cawan, kurang ais, kurang gula. Sambil itu saya bertanya:
Abang, banyak air ni, kalau tak habis macam mana? Ke abang tunggu sampai habis?
Sambil gelak, dia berkata:
Mana ada tunggu sampai habis. Nanti nak balik terpaksa buanglah!
Terbeliak biji mata sebab air-airnya agak banyak juga.
Soalan seterusnya, kenapa tak diberi sahaja percuma kepada orang ramai terutama bila sudah dekat waktu berbuka. Malah soalan ini yang saya tertunggu-tunggu untuk bertanya selama ini. Saya mahu tahu apa alasan mereka dan kenapa sukar sangat untuk memberi secara percuma. Bukankah sedekah itu lebih baik berbanding buang begitu sahaja?
Namun, jawapan yang diberikan oleh ‘abang’ itu bagaimanapun telah menyedarkan saya. Sebenarnya, mereka juga amat berat hati membuang atau merugikan minuman yang disediakan dengan harapan dijual habis. Sudah niatnya untuk berniaga, mungkin mereka tiada jalan lain.
Bukan tak nak beri free. Dulu-dulu saya bagi free. Lepas pukul 7 petang, saya akan beri. Tapi apa orang kita buat? Dia tak nak beli air kat kita, sampailah pukul 7 petang barulah terhegeh-hegeh datang cari air free. Bukan semualah tapi ada sebilangan yang buat macam tu. Memang saya rugi, lagi rugi daripada saya buang ni.
Orang kena faham, kami di sini berniaga, ada situasi boleh bagi free, tapi kalau pelanggan ambil kesempatan, mana boleh macam tu?
Saya sedar, mereka mahu berniaga tetapi masyarakat kita pula masih mengamalkan mentaliti mendahagakan segalanya secara percuma. Mungkin ia perlu diubah, tidak kiralah yang berpuasa atau tidak, di bazar Ramadan atau tempat lain, di kedai makan atau bukan.
_ Sumber: Free Malaysia Today