Bank Negara Malaysia (BNM) berkata tindakan pemandu pelancong di Sabah memberi perkhidmatan menukar mata wang kepada pelancong asing menyalahi undang-undang.
Ada di kalangan pemandu pelancong yang menyediakan perkhidmatan menukar mata wang kepada pelancong yang melawat negeri itu.
Seorang pemandu pelancong enggan dikenali berkata, sesetengah pengusaha pelancongan akan memberi pinjaman sehingga RM100,000 kepada pemandu pelancong mereka untuk tujuan itu.
Majikan itu akan mengenakan faedah rendah ke atas pinjaman itu atau mendapat keuntungan daripada transaksi penukaran mata wang.
Seorang pegawai di Jabatan Pengawalan Perniagaan Perkhidmatan Wang BNM di Kuala Lumpur memberitahu, hanya mereka yang mempunyai lesen dibenarkan memberi perkhidmatan menukar mata wang.
“Hanya syarikat yang mempunyai lesen dikeluarkan Bank Negara Malaysia melalui jabatan ini dibenarkan melakukan transaksi itu.
“Hanya syarikat liabiliti terhad atau ejen mereka yang juga syarikat liabiliti terhad boleh menjalankan aktiviti menukar mata wang,” kata pegawai itu sambil menambah BNM tidak mengeluarkan lesen mengurup wang kepada mana-mana individu.
Hukuman berat menanti mereka yang melanggar peraturan penukaran mata wang.
“Mereka yang terbabit dalam perkhidmatan menukar mata wang tanpa lesen akan dihadapkan ke mahkamah di bawah Seksyen 4 Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.
“Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau tidak melebihi 10 tahun penjara atau kedua-duanya,” kata pegawai BNM itu.
Sumber : FMT