Pengurus dan juga kakak ipar kepada Datuk Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak menafikan khabar angin kononnya penyanyi itu sudah hamil buat kali kedua.
Berita itu disebarkan menerusi sebuah akaun Facebook dengan nama Kaki Share dan ia telah menjadi viral sejak semalam.
Rozi meminta agar individu disebalik akaun berkenaan berhenti menyebarkan berita palsu itu  hanya kerana ingin mengaut keuntungan daripada orang ramai.
Saya kecewa dengan tindakan mereka. Disebabkan status dimuat naik itu membuatkan banyak pihak membaca dan mempercayainya. Malah banyak yang berkongsi di ‘page’ Facebook masing-masing.
Saya yakin dan percaya pemilik akaun ini ialah orang Islam dan berbangsa Melayu. Jadi tentu dia mengetahui hukum memfitnah itu berdosa besar.
Apa yang ditulis mereka sangat jelas, tepat dan tidak ada satu ayat pun yang tersasar. Cuma apabila ia diolah semula, ia mengundang perasaan orang untuk membaca. Apabila berita itu dimanipulasi, rasa tidak adil kerana saya tidak bercakap pun hal itu.
Mungkin pihak tersebut tahu bahawa ramai peminat Datuk Siti Nurhaliza mengharapkan beliau untuk hamil sekali lagi. Apa-apa pun, jangan mudah percaya dengan berita sebegini jika ia tidak keluar daripada mulut tuan empunya badan. Namun, kami juga tetap mendoakan agar Siti Nurhaliza diberikan peluang untuk menjadi ibu.