Harga aksesori telefon bimbit yang murah jika dibandingkan dengan beberapa pusat barangan elektronik terkemuka lain sedikit sebanyak mengejutkan pengunjung Digital Mall.
Menurut FMT, rata-rata pengunjung berpuas hati dengan paras harga dan kepelbagaian produk yang terjual di kedai-kedai yang memenuhi tingkat 3 bangunan MARA itu.
Ismail Osman, 52, turut tergamam melihat harga mampu milik barangan-barangan di situ hinggakan beliau redha jika ditipu.
“Saya terperanjat juga sebabnya harga yang saya dapat ini, rendah. Saya beli bateri dengan harga RM12, saya fikir harganya RM30.00 hingga ke RM40.00,”
“Saya percayakan kepada orang Islam kerana dia tidak boleh menipu dalam perniagaan,” katanya bersungguh-sungguh, “jadi kalau saya beli dan andai berlaku penipuan, kita redha lah.”
FMT juga melaporkan, di beberapa kedai mendapati harga untuk aksesori telefon bimbit ternyata lebih murah. Malah beberapa pengunjung menyokong kewujudan Digital Mall ini sebagai ‘Low Yat 2?.
“Apa yang saya lihat dari segi harga memang jauh beza berbanding di luar, yang macam ini (sarung telefon bimbit) baru RM10.00. Kalau saya beli dekat Kompleks Pertama harganya RM30.00,” kata Nordin Harun, 52.
Nordin Harun baru pertama kali menjejakkan kaki ke Digital Mall.
Meskipun berpuas hati dengan paras harga yang ditawarkan para pekedai, Nordin mahu melihat persaingan yang lebih hebat dengan memperbanyakkan lagi jumlah peniaga di Digital Mall.
“Kekurangan dia tidak banyak, cuma perbanyakkan kedai lagi. Kita juga kena sokong perniagaan orang kita (Bumiputera),” katanya.
Bagaimana pula dalam kalangan belia? Harga mampu milik di Digital Mall membuatkan Shauqi Zainol, 29 dan Fadzil Baharuddin, 25, mengalu-alukan kewujudannya.
Malah, Farhan Hekam, 26, berhasrat untuk kembali lagi.
“Dari segi harga memang berbaloi sangat. Kerana memang murah. Kalau di tempat lain, tidak dapat dengan harga RM10.00, mungkin RM20.00 atau lebih. Memang akan datang lagi kalau nak cari barang,” ujarnya.