Pengguna Facebook Cerita Pengalaman Tentang Skim MLM Luxor 10 Tahun Lepas

Trending

Pengguna Facebook Cerita Pengalaman Tentang Skim MLM Luxor 10 Tahun Lepas

Skim pemasaran berbilang tingkat atau lebih dikenali sebagai MLM bukan perkara baru di negara ini. Mereka yang menyertai skim ini biasanya melalui ‘orang atas’ atau dikenali sebagai upline, dan ‘orang bawah’ dikenali sebagai downline.

Sistem ini biasanya mempunyai produk yang dipasarkan tetapi fokusnya lebih kepada mencari pelabur sebagai orang bawah. Sebenarnya, sumber pendapatan utama upline ialah mencari seramai downline yang mungkin untuk mengaut keuntungan, jika tiada yang menyertai di bawah upline, pastinya akan rugi besar kerana duit pelaburan sendiri akan hilang begitu saja.

Advertisement

Malangnya, ramai yang hilang wang pelaburan begitu saja kerana tidak berjaya mencari downline.

Sememangnya secara logik, pada tahap tertentu, skim MLM akan tepu kerana tiada lagi ahli baru yang mahu menyertainya disebabkan sukar mencari downline dan syarikat terbabit akan hilang tiba-tiba bersama janji bulan dan bintang mereka.

Sudah banyak skim ini yang muncul dengan pelbagai nama, menjanjikan bulan dan bintang akhirnya tepu dan mati, namun masih ramai yang tidak serik.

Putus kawan, putus saudara, jadi papa kedana malah ada yang mati kerana MLM.

Seorang pengguna Facebook bernama Ariff Ariffin mengongsi pengalamannya mengenai satu skim MLM yang popular sekitar 2005-2006 iaitu Luxor. Dia bertanya, apa khabar jutawan-jutawan Luxor?

“Apa khabar jutawan-jutawan Luxor??!”

“LUAR BIASA BAIK!!!!”

Ya. Itu cerita tahun 2005-2006. Rupa-rupanya, Phytoscience lambat lebih kurang sepuluh tahun dalam menggunakan ayat keramat ini dalam bertanya dan menjawab khabar. Ya. Sepuluh tahun. Patutnya gunalah lagu “Apa Khabar” yang Joe Flizzow dan SonaOne nyanyi tu. Barulah ‘up to date’ kata mat saleh. Dan “jutawan-jutawan” Luxor tu tak ada pun jadi jutawan. Semua akhirnya melingkup. Dah masuk Kampus Gombak pun pakai motor lagi. Jutawan taik kucing!

full

Aku ingat lagi, punyalah ‘hip’ MLM waktu tu, terutamanya Luxor. Tiap-tiap malam Selasa ada perjumpaan kalau aku tak salah. Masa tu perjumpaan tu dibuat dekat Menara Luxor dekat PJ. Sekarang aku pun tak tahu Menara Luxor ni masih tersergam indah ataupun dah tukar nama. Pertengahan semester pertama dekat Matrik, ramai dah kena getah. Ini semua gara-gara kena ‘brainwash’ di Menara tersebut. Semua balik ke bilik dengan semangat berkobar-kobar nak suruh kawan satu dorm masuk juga.

Semua pergi pun bukan ada ‘upline’ yang “kutip”. Tahan teksi, dan “tong” duit tambang nak sampai ke tempat tu. Upline ada Mercedes, BMW bukannya nak tolong. Ya. Kau tak payahlah menunjuk upline kau umur 24 pakai Porsche Carrera GT dengan Ferrari. Orang lain dah pakai skil tu tahun 2005. Upline kau tu baru tingkatan dua masa tu.

Tapi mujurlah aku ni budak AED. Banyak kerja. Ya. Sudahlah aku ni pemalas nak siapkan projek, ada hati kau nak ajak aku ke tempat macam tu. Lainlah kalau ajak aku ‘fly’ pergi 14 main snooker. Itu aku ‘on’. Aku rasa, inilah antara penyebab aku ‘extend’ pengajian aku dekat Matrik jadi dua tahun.

Masa tu yang masuk ni semua bukan ada duit pun. Dapat seribu ringgit je wang ihsan KPT setiap semester. Tapi punyalah “selenge” sampai sanggup meminjam. Ni semua pasal upline dia ajar. Aku tahulah pasal ada brader tu ajar macam tu. “Korang dapat duit seribu kan? Ko cari kawan ko dua orang. Ko pinjam duit diorang seribu sorang. Atau ko cari 4 orang, pinjam 500 sorang. Ikut ko lah macam mana. Nanti dah masuk, ko cari downline. Dapat dua downline, ko dah boleh setel hutang. Lepas tu, engko lah Jutawan Luxor!” Menitik air mata aku bila fikir balik apa yang dia ajar ni.

Bangang mereka yang meminjam, bangang juga mereka yang sanggup memberi pinjam. Termasuklah aku. Sebenarnya aku beri pinjam pasal aku semak kena paksa masuk Luxor ni. Aku ingat lagi perbualan berkenaan kehidupan dan harapan tu. “Kalau ko tak nak masuk tak apa, ko bagilah aku pakai duit ko, Pet. Ayah ko kan bagi duit belanja. Nanti aku dah dapat cari ‘downline’ aku bayarlah semula. Sekejap je ni. Bakal Jutawan Luxor!! Hehe.” Kata dia sambil tersengih memujuk aku.

Nak pinjam pun janji bayar dalam masa sebulan dua. Kau tahu berapa lama aku nak dapat semula duit aku? Semester ketiga ke semester empat dekat Matrik baru aku dapat. Celaka betul. Itu pun jenuh berbuih mulut aku minta, dah serupa pengemis pun ada.

Selain Luxor, banyak juga jenama MLM ni. Ada Sureco, Uptrend, Omegatrend dan segala jenis ‘trend’ lain yang memang ‘trendy’ pada tahun-tahun tersebut.

Punyalah hebat penangan MLM. Ada putus kawan. Ada sampai bertumbuk pasal minta hutang. Ada yang buat tak tahu terus dengan hutang tu. Tapi, penghujungnya cuma satu je aku nak tanya.

“APA KHABAR JUTAWAN-JUTAWAN LUXORRRRRRRR???!!!! Dah pakai kereta jenama apa sekarang??!”

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...