Kes tuntutan pengesahan lafaz cerai pelakon dan pelawak Along Cham terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, ditangguhkan ke 8 Mei selepas Mahkamah Rendah Syariah Sepang mendapati dokumen yang dikemukakan tidak lengkap.
Menurut Berita Harian, Hakim Muhamad Nazri Basrawi membuat keputusan itu selepas meneliti dokumen yang diserahkan Along dan mendapati terdapat kesilapan serta kekurangan dalam penyata tuntutan. Sehubungan itu, hakim turut mengarahkan Along melantik peguam syarie bagi memudahkan proses perbicaraan dan memastikan segala dokumen dikemukakan dengan teratur.
Ada kesilapan komunikasi
Along, atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, menjelaskan bahawa berlaku kesilapan komunikasi ketika mengisi borang berkaitan lafaz cerai yang dibuat pada Jun tahun lalu, hanya dua bulan selepas perkahwinan mereka. Disebabkan kesilapan tersebut, dia perlu memfailkan semula penyata tuntutan bagi membolehkan kes diselesaikan dengan baik.
Kalau ikutkan, cerai memang sudah berlaku, saya sendiri lega apabila hakim mengatakan perkara ini hanya perlu disahkan kerana ia memang sudah berlaku. Cuma sekarang saya perlu tunggu keputusan rasmi selepas pemfailan semula dilakukan.
Bercadang lantik peguam
Along juga mengakui pada awalnya tidak melantik peguam kerana mendapat nasihat daripada pihak pejabat agama yang memaklumkan bahawa bagi tuntutan pengesahan lafaz cerai, kehadiran peguam tidak diperlukan. Namun, selepas berdepan dengan kesilapan teknikal dalam pemfailan, dia kini bercadang untuk melantik peguam agar proses berjalan lebih lancar.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Afreena iaitu Mohamad Iezwan Ielias memaklumkan bahawa mahkamah meminta Along memperbetulkan penyata tuntutan kerana maklumat yang dimasukkan tidak tersusun dengan baik.
Mahkamah tidak mahu proses ini menjadi carca marba. Dokumen yang dimasukkan ada berlaku pertindihan, di mana sepatutnya maklumat bernombor dua menjadi nombor satu. Oleh itu, mahkamah meminta penyata tuntutan dipinda sebelum kes ini dibicarakan semula.
Kecewa lama tertangguh
Dalam pada itu, Afreena meluahkan rasa kecewa apabila prosiding tertangguh akibat kesilapan dokumentasi.
Perkara ini sudah lama tertangguh, bukan sebulan atau tiga bulan, tetapi lebih enam bulan. Saya harap semuanya dapat diselesaikan secepat mungkin.
Sebelum ini, Along memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai taklik terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 10 Februari, berdasarkan alamat kediamannya.
Dalam kenyataan terdahulu, Along mendedahkan bahawa dia sepatutnya telah memfailkan permohonan tersebut lebih awal, iaitu pada 16 Disember tahun lalu. Namun, hasrat itu tertangguh selepas dia ditahan polis pada 14 Disember atas kesalahan memiliki ganja.
Menurut Along, isterinya telah melanggar lafaz taklik yang melibatkan tiga perkara utama sepanjang perkahwinan mereka.