Terdesak mahu mendapatkan wang bagi membeli makanan, pengemis berusia 55 tahun ini maut selepas membuat aksi ‘back flip’ yang mengakibatkannya patah leher. Dia sanggup melakukan aksi itu selepas ditawarkan $6 (RM25) oleh Keonte Jones.
Pengemis dikenali sebagai Larry Coner itu dikatakan telah mendekati Jones untuk memintanya wang. Selepas menawarkan jumlah wang itu, Jones kemudian merakamkan percubaan itu secara langsung menerusi akaun media sosialnya. Pengemis itu dilihat berkali-kali mencuba melakukan ‘backflip’ namun tidak berjaya.
Pada percubaan yang ketiga, malangnya dia mendarat di bahagian kepala dan terlantar di lantai.
Seorang wanita yang mendakwa dirinya adalah adik beradik pengemis itu menggambarkan Coner sebagai lelaki yang rendah diri dan mengalami kehidupan yang susah. Aksi sekumpulan pemuda memperlekehkan saudaranya sehingga mengakibatkan kematian adalah sesuatu yang tak dapat diterima.
“Mengapa kita tidak mempunyai belas kasihan terhadap orang lain dan belas kasihan terhadap manusia lain.”
Keluarga Coner dilaporkan membawa kejadian itu kepada polis Las Vegas yang mula menyiasat video yang dirakamkan sendiri oleh Jones. Lelaki tersebut kemudian ditahan pada hari Selasa kerana disyaki sengaja mengabaikan keselamatan seseorang dalam kematian Larry Coner di Las Vegas, Nevada.