Pengecualian Cukai Jualan Kereta Penumpang Wajar Dilanjutkan Susulan Peningkatan Kes COVID19

Automotif

Pengecualian Cukai Jualan Kereta Penumpang Wajar Dilanjutkan Susulan Peningkatan Kes COVID19

Bagi membolehkan industri automotif mengekalkan pertumbuhannya, pengecualian cukai jualan kereta penumpang wajar dilanjutkan sehingga akhir tahun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad, cukai jualan kereta penumpang wajar dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

Advertisement

“Industri belum pulih sepenuhnya dan pemulihan yang berlaku ketika ini masih rapuh memandangkan ekonomi belum sembuh sepenuhnya daripada impak COVID-19”.

“Malah, kebimbangan kepada gelombang keempat jangkitan pandemik pada peringkat global dan di Malaysia juga boleh memberi kesan kepada keutuhan pemulihan industri automotif”.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata kerajaan diyakini akan membuat pertimbangan sewajarnya bagi melanjut atau menamatkan insentif itu dengan mengambil kira impak kepada negara secara keseluruhan.

“PROTON menyokong sepenuhnya semua langkah dan keputusan yang diambil oleh kerajaan untuk menangani COVID-19”.

“Insentif pengecualian cukai jualan membantu industri mengekalkan dan menambahkan kadar jualan kenderaan. Secara langsung, ia juga membantu mengekalkan pekerjaan bagi syarikat dalam industri ini”.

Menurut penganalisis automotif, Hezeri Samsuri, pengecualian cukai jualan yang bakal berakhir bulan depan dilihat menjadi pemacu utama pertumbuhan ekosistem keseluruhan, bukan sekadar meningkatkan jumlah keseluruhan industri (TIV).

(gambar hiasan) kereta Proton X50

Tambahnya, secara kasarnya kerajaan akan mengalami kerugian kerana tidak dapat memungut pendapatan daripada duti eksais penjualan kenderaan baharu, negara secara keseluruhan akan menerima keuntungan dari segi lain.

“Contohnya, penambahan kenderaan baharu akan meningkatkan lagi pendapatan dalam industri pembuatan komponen kenderaan, industri kewangan, insurans, bahan api, barangan berkaitan automotif dan sektor pelancongan”.

Pada 29 Disember lalu, kerajaan mengumumkan lanjutan pengecualian cukai jualan kereta penumpang merangkumi 100 peratus bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus model unit import (CBU) untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021.

Susulan itu, harga kereta penumpang termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) menurun antara dua hingga sembilan peratus. Insentif itu menjadi antara pemacu utama lonjakan jualan kenderaan penumpang bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Jualan bagi tempoh Januari hingga Mac 2021, menyaksikan kenderaan penumpang yang menerima insentif pengecualian cukai 100 peratus kenderaan CKD dan 50 peratus bagi CBU mencecah 123,281 unit.

Sektor perbankan turut mendapat keuntungan apabila pinjaman meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun pada Mac dengan jumlah kelulusan untuk pinjaman kenderaan meningkat sebanyak 22.7 peratus kepada RM12.7 bilion.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan mendedahkan, kerajaan dianggarkan kehilangan hasil cukai mencecah RM1.784 bilion susulan insentif pengecualian cukai jualan kereta penumpang bagi tempoh 15 Jun 2020 hingga 31 Mac 2021.

SUMBER

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...