Seorang pengayuh basikal yang dikenali sebagai Karbi Mominin berkongsi pengalamannya selepas singgah di sebuah rumah yang disangkanya kedai makan. Dia yang mengayuh basikal dari Tasik Kenyir ke Kuala Berang pada Hari Raya Aidiladha itu singgah makan nasi dagang di ‘kedai’ berkenaan.
Dia tidak menyangka kedai makan itu sebenarnya merupakan rumah kepada seorang warga emas.
Karbi meluahkan rasa malunya apabila ingin membuat pembayaran, dia difahamkan ‘kedai’ itu sebaliknya adalah rumah kediaman. Bukanlah kedai makan seperti yang disangkakannya.
Dia yang sebaik sampai di rumah itu yang disangkakannya menjual nasi dagang terus memesan makanan berkenaan. Menurutnya apa yang lebih memalukan lagi, apabila seorang wanita turut menyendukkan nasi buatnya.
“Saya pula jenis yang suka bercakap dan banyak bercerita dengan anak pemilik rumah itu. Namun, saya mula rasa pelik apabila makcik itu menghantar secawan teh tarik sedangkan saya tidak memesannya.”
Rumah saya memang kedai
Pemilik rumah berkenaan Fatimah atau lebih mesra dipanggil Mok Ngoh Nas berkata, lelaki itu mungkin tidak memahami loghat Hulu Terengganu sehingga berlakunya salah faham.
“Rumah saya memang kedai malah lebih 50 tahun sudah berniaga nasi dagang, nasi lemak dan nasi kebuli pada hari biasa. Cuma pada hari perayaan saya tidak berniaga dan menjamu orang ramai yang bertandang ke rumah dalam kedai berkenaan.”
Mok Ngoh menganggap mungkin rumahnya yang mempunyai suasana kedai telah membuatkan Karbi berhenti dan makan seterusnya ingin membuat bayaran.
Dia turut terkejut apabila Karbi ingin membayar selepas makan
Tambahnya, dia memang menjamu penduduk kampung pada setiap hari raya sama ada pada Aidilfitri atau Aidiladha.
“Kebetulan pada hari raya pertama Aidiladha, saya sediakan nasi dagang sebagai menu utama dan menjadi rezeki lelaki berkenaan.”
Tidak tahu bahawa kejadian itu tular.
Mok Ngoh turut menyatakan yang dia tidak tahu kejadian itu tular di media sosial, sebelum diberitahu cucu dan anak-anak.
“Kelakar juga apabila diberitahu cucu mengenai perkongsian itu namun saya tidak marah malah mengalu-alukan kedatangannya lagi ke kedai.”
Menurut Mok Ngoh, kedainya memang sudah dikenali penduduk setempat kerana menjual pelbagai hidangan termasuk nasi dagang selain juadah istimewa iaitu nasi kebuli.
Perkongsian Mohd Karbi berhubung pengalamannya itu di media sosial menarik perhatian netizen dan rata-rata menyifatkannya sebagai pengalaman yang melucukan.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.