Pengasuh wanita yang sebelum ini ditahan selepas tular video dia memukul seorang kanak-kanak di taska telah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.
Tertuduh, Melona Eva Ezwa Musah, 27, juga akan dikenakan hukuman penjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda RM10,000 dan mahkamah turut mengenakan bon berkelakukan baik selama dua tahun.
Melona Eva Ezwa mengaku bersalah terhadap tuduhan menganiayai kanak-kanak lelaki berumur empat tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kejadian berlaku di antara 9 pagi hingga 10 pagi, 8 Ogos yang lepas di sebuah taska di Penampang, Sabah dan dia telah didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama mengikut Seksyen 31 (2) akta yang sama.
Terdahulu, peguam Hairul Vaiyron Othman yang mewakili Melona memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan dia sudah ‘dihukum’ apabila berada dalam kemurungan dan menghadapi penghinaan selepas video perbuatannya tular di media sosial.
Dengan mengaku bersalah juga, tertuduh telah menyelesaikan kes itu seterusnya boleh menjaga kedua ibu bapanya dan jika hukuman lebih berat dikenakan, ini telah ‘mengalahkan’ tujuan itu.”