Pengasas Cap Kipas Udang, Datuk Lambak Mohamed, meninggal dunia semalam jam 9.15 pagi di kediamannya di Larkin Jaya, Johor. Arwah berusia 100 tahun ketika menghembuskan nafas yang terakhir.
Jenazah Lambak Mohamed dikebumikan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam di Tanah Perkuburan Kebun Teh berhampiran kediamannya itu.
“Arwah tiada komplikasi penyakit, malah dia sihat sahaja sebelum ini,” menurut cucunya, Amiza Abdul Aziz.
Dia meninggalkan isteri Datin Rogayah Jusoh berusia 94 tahun dan perkahwinan mereka dikurniakan 12 orang anak.
Jenama popular itu yang mengeluarkan barangan makanan seperti kicap, sos dan kaya telah mendapat banyak pengiktirafan antarabangsa.
Produk keluarannya telah diedarkan sejak tahun 1987 oleh Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd. Cap Kipas Udang memang menjadi pilihan rakyat Malaysia, terutamanya kicap Habhal’s.