Meskipun dikritik, formula pengarah drama dan penulis skrip popular, Shahrulezad Mohameddin yang berani menghasilkan drama tentang seorang ustaz yang bertemu dan secara tidak sengaja jatuh hati kepada seorang pelacur akhirnya berbaloi apabila drama Nur memenangi Anugerah Skrin 2018 yang diadakan semalam.
Walaupun sudah menjangkakan kemenangan drama tersebut, Shahrulezad bagaimanapun enggan meletakkan harapan terlalu tinggi kerana enggan merasa tertekan.
Sejujurnya, saya tak suka apabila ada orang letak jangkaan terlalu tinggi untuk drama kita menang dan itu membuatkan saya jadi takut dan tertekan. Bayangkan kalau drama ini kalah, tak bawa balik apa-apa trofi, orang akan pandang saya lain macam dan tanya kenapa tak menang ya?
Sebenarnya, saya tak suka orang simpati kalau saya kalah. Alhamdullilah, rezeki memihak kepada kami malam ini.
Drama Nur bukan sahaja berjaya merangkul trofi Drama Rantaian Terbaik tetapi dua pelakon utamanya iaitu Syafiq Kyle dan Amyra Rosli turut memenangi kategori Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian.
Katanya drama Nur 2 bakal memulakan penggambarannya tidak lama sahaja lagi dan pastinya sudah ramai yang tidak sabar apakah kesinambungan kisah Ustaz Adam dan Nur. Sama-sama kita nantikan.