Situasi tegang antara Fasha Sandha dan Nora Danish mengenai satu insiden yang berlaku ketika pertunjukan fesyen Fenomena Aidilfitri 2017 menjadi viral di media sosial sejak beberapa hari lepas sehingga timbul pelbagai spekulasi mengenai perkara tersebut.
Tidak mahu netizen terus salah faham dan mengkritik kedua-dua pelakon wanita tersebut, penganjur acara tersebut melalui Pengarah Urusan Glass Go Media, Amiruddin Rizuan Ali telah tampil memohon maaf dan menjelaskan salah faham yang sudah berlaku sehingga mencetuskan kontroversi.
Kejadian yang berlaku tiada kena mengena dengan Nora Danish atau Fasha Sandha dan ia sebenarnya atas kelalaian daripada pihak saya. Pada malam tersebut tiada sebarang kejadian melibatkan tarik diri daripada pertunjukan fesyen mahupun halau-menghalau dan ia merupakan satu salah faham.
Jadi, saya mengambil sepenuh tanggungjawab atas perkara yang terjadi dan akan cuba menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Saya memohon agar netizen dan peminat menghentikan spekulasi dan tidak terus menyebarkan fitnah.
Harapnya dengan penjelasan daripada pihak penganjur, netizen tidak akan terus membuat andaian mereka sendiri. Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak. Semoga masalah ini dapat diselesaikan secara baik.