Sebelum ini, seorang pengguna Facebook telah mengongsi mengenai penggunaan wet tissue untuk membersihkan kemaluan bayi yang diberitahu kepadanya tidak selamat oleh seorang doktor. Isi perbualan dengan doktor itu dikongsi oleh seorang wanita yang enggan dikenali kepada satu laman Facebook yang menyebarkan informasi untuk ibu hamil.
Dr Suhazeli Abdullah, seorang pengamal perubatan bagaimanapun telah menulis hujah balas yang mematahkan informasi tersebut. Ikuti penerangan beliau:
Saya cuba untuk menghormati pandangan yang dikeluarkan oleh seorang doktor pakar yang menyatakan wet tissue penyebab kepada jangkitan kuman saluran kencing ke atas bayi. Antara nasihat doktor tersebut supaya mengelakkan penggunaan Wet Tissue ketika membasuh najis bayi. Ia dimuatkan dalam Page Info Ibu Hamil.[1] Lebih menyeramkan lagi hasil dari pengunaan itu akan menyebabkan kemusnahan buah pinggang bayi jika tidak menggunakan dengan cara yang betul wet tissue.
Jika kanak-kanak mengalami demam yang tidak diketahui puncanya, kencing kotor adalah antara penyebab yang boleh disyaki.[2] Dianggarkan 1% bayi lelaki dan 3% bayi perempuan mengalami kencing kotor dalam masyarakat. Bayi perempuan lagi senang dijangkiti kerana anatomi urethra mereka pendek. Penyebab kencing kotor tidak dikenal pasti dengan jelas. Namun jika bayi tersebut menghidapi penyakit Vesico-ureteric-reflux (VUR), risiko kencing kotor adalah tinggi. VUR ini bermaksud air kencing akan naik semula dari pundi kencing ke ureter akibat kegagalan struktur anatomi. Kes ini jarang berlaku kepada bayi.
Kebersihan bayi terutama kawasan kemaluan amat penting. Kegagalan menjaga kebersihan inilah menjadi punca utama kepada risiko kencing kotor, bukannnya semata-mata penggunaan tisu basah (wet tissue).[3] Malah jika menggunakan tisu muka, tuala good morning, atau seumpamanya juga mempunyai risiko jangkitan kuman ke dalam saluran kencing bayi. Hatta, menggunakan air pun masih berisko untuk dijangkiti kuman. Cumanya asas utama untuk mengelakkan jangkitan kuman adalah menjaga kebersihan. Basuhan kekotoran menggunakan air mutlak adalah lebih baik, serta dilakukan dalam sela masa yang tertentu. Sesetengah kajian mengesyorkan penukaran lampin buang bayi setiap 4 jam (tetapi ia bukan ketetapan yang wajib). Elakkan teknik sapu ketika membersih najis bermula dari dubur ke kubul. Ini kerana kebanyakan kuman yang terdapat di bahagian dubur akan tercemar ke bahagian qubul. Risiko jangkitan kuman terjadi.
Andai sekiranya ingin juga menggunakan tisu pembersih dek kerana ketergesaan masa, wet tissue boleh dijadikan pilihan kerana kandungan alkohol yang terdapat didalamnya akan bertindak sebagai antiseptik. Bahan kimia lain yang terdapat di dalamnya juga tidak akan mengganggu sistem imun badan. Hujah yang mengatakan bahan kimia tersebut akan menyebabkan bayi mudah dijangkiti kuman adalah tidak berasas.
Mungkin kes yang disebut dalam facebook itu adalah salah faham ibu muda berkenaan mengenai penerangan oleh doktor pakar yang tidak bernama itu. Adalah dinasihatkan masyarakat kena bijak menapis informasi yang diperolehi dari media sosial. Kebertanggungjawaban para pemberi info perlu diambil kira. Jika berita dari sumber yang bukan berkeahlian dalam sesuatu isu terutama isu perubatan, akan menyebabkan ribut-minda dan kecelaruan dalam masyarakat.
Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
#MedicalMythBustersMalaysia
#MedTweetMYfb.com/drsuhazeli
14 Ogos 2016Rujukan:
[1] Guna Wet Tissue Salah Mudarat Kesihatan Bayi.https://m.facebook.com/iihamil/photos/a.1394027687481257.1073741826.1394024717481554/1780247202192635/?type=3
[2] UTI in Children. http://emedicine.medscape.com/article/969643-overview#a5
[3] Nasihat penjagaan kebersihan. http://patient.info/doc…/urinary-tract-infection-in-children
Semoga penerangan Dr. Suhazeli berjaya menjawab semua persoalan yang timbul berhubung kenyataan viral tersebut.
Sumber: Medical Mythbusters Malaysia