Pengalaman Dirompak Dengan Parang Di Aman Putri

Hiburan

Pengalaman Dirompak Dengan Parang Di Aman Putri

Abang Nara pasti ada yang sudah mengetahui tentang tragedi yang menimpa diri ini sekeluarga pada hari Isnin lalu. Izinkan Abang Nara bercerita kembali untuk dijadikan iktibar, pengajaran dan panduan buat kita semua di masa hadapan.

Isnin lalu, Abang Nara sekeluarga telah pergi ke Aman Putri di Sungai Buloh untuk melihat rumah yang telah dibeli. Tujuan kami ialah untuk berbincang dengan kontraktor mengenai ubahsuai yang mahu dilakukan sebelum berpindah masuk ke situ.

Advertisement

Aman Putri ialah sebuah perumahan baru di bawah daerah Shah Alam dan merupakan projek syarikat Glomac. Tiada security guard yang bertugas dan sesiapa sahaja bebas masuk tanpa sebarang kawalan. Mungkin kerana ia adalah kawasan baru dan projek yang masih tidak siap sepenuhnya.

Kira-kira jam 1.30 petang, Abang Nara, wife dan anak tiba di unit rumah kami di Aman Putri. Kontraktor yang merupakan seorang warga Bangladesh telah berada di sana. Kami masuk ke dalam rumah dan berbincang mengenai renovation yang ingin dilakukan. Hampir setengah jam perbincangan dilakukan, kami pergi ke bahagian hadapan rumah.

Sedang rancak berbincang mengenai “tiles” yang ingin ditukar di bahagian depan, tiba-tiba terdengar bunyi enjin kereta yang sangat kuat. Sebuah kereta Naza Citra berhenti secara mengejut. Pintu terbuka dan 2 orang lelaki bertopeng dan berparang meluru keluar daripada kereta tersebut.

Abang Nara tergamam. Wife Abang Nara terus mendukung anak kami yang sedang berada di sebelahnya. Perompak itu terus menghunuskan parangnya dan berkata “Duduk diam dan ikut arahan. Kamu pun ada anak kecil kan“.

Nasib baik Abang Nara berjaya menenangkan diri ketika itu. Terus Abang Nara berkata “U nak ambik apa-apa ambil je”. Perompak itu terus meminta kunci kereta, handphone dan dompet daripada kami bertiga (Abang Nara, wife dan kontraktor). Kami menghulurkannya tanpa banyak cakap.

Ketika perompak sedang mengambil duit daripada dompet, Abang Nara sempat berkata “Saya nak IC je”. Perompak itu terus mengambil sedikit duit dan memberikan kembali dompet. IC, kad kredit dan segala barang di dalam itu tidak disentuh.

Wife Abang Nara turut ditanya di mana dompet dan handphonenya. Wife cakap tak ada (semua barang dalam kereta). Salah seorang perompak masuk ke dalam kereta dan mengambil dompet wife. Wife pun mintak IC dan beg susu anak kami daripadanya.

Perompak itu memberikan dompet dan beg susu wife Abang Nara.  Kontraktor Bangladesh itu turut diambil wangnya dan kunci kereta di dalam koceknya. Semua ini berlaku dalam tempoh kurang daripada 2 minit.

Habis mengambil apa yang patut, kedua-dua perompak ini memandu kereta Abang Nara dan kereta kontraktor keluar. Seorang lagi perompak mengikut dari belakang dengan kereta Naza Citra hitamnya. Abang Nara sempat tengok plat mereka iaitu PHT 425.

Selepas perompak hilang daripada pandangan mata, wife Abang Nara hampir pengsan akibat terkejut. Abang Nara cuba menenangkan dia. Nasib baik handphone kontraktor tersebut tidak diambil. Abang Nara terus telefon 999 dan ayah Abang Nara untuk memberitahu kejadian tersebut.

Ayah Abang Nara tiba 15 minit selepas itu dan kami terus ke balai polis untuk membuat laporan. Alhamdulillah kami sekeluarga tidak diapa-apakan. Lebih melegakan kerana segala dokumen penting tidak diambil oleh si perompak.

Beberapa pengajaran daripada tragedi ini ialah:-

1. Jangan pergi tengok kawasan perumahan baru anda.
2. Jangan melawan apabila dirompak. Ikut arahan dan beri apa sahaja yang mereka mahu.
3. Cuba tenangkan diri secepat mungkin ketika kejadian. Takut kalau cemas kita akan melakukan perkara yang membahayakan ahli keluarga.
4. Pastikan anda hafal no telefon ahli keluarga terdekat.
5. Jangan letak barang berharga di dalam kereta.
6. Kadar jenayah di Malaysia semakin meningkat. Jadi sentiasa berhati-hati ke mana sahaja.

Tujuan Abang Nara kongsikan cerita ini adalah untuk dijadikan pengajaran dan panduan untuk kita di masa hadapan. Apa pun, Abang Nara nak ucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang telah banyak membantu kami ketika ditimpa bencana ini. Terima kasih.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...