Pasti ramai yang masih ingat lagi filem dari Korea Selatan iaitu “Train To Busan” yang pernah mencetuskan fenomena di Malaysia. Filem blockbuster itu telah berjaya mendapat kutipan pecah panggung sekitar US$93 juta dan di Malaysia sendiri mendapat kutipan kasar dalam RM21 juta.
Selepas menonton filem itu, mesti ada yang terfikir dan terbayang macam mana agaknya kalau situasi di dalam filem berlaku pada anda kan? Percaya atau tidak, sekarang ini anda boleh rasai sendiri pengalaman dikejar zombi!
Projek ini merupakan kerjasama antara Resorts World Genting, Air Asia dan pakar virtual reality Vividthree. Rumah seram ini menggabungkan kesan khas, set dan butiran terperinci dari filem itu sendiri. Dan semestinya, zombi akan berkeliaran dan mengejar mangsa mereka sepanjang anda menyelesaikan misi.
Ada lima tarikan di sana iaitu “Lost in Daejong”, “The Train Crash Escape”, “Survival Camp”, “Zombie Camp” dan “Street of Seoul”. Sepanjang di dalam rumah seram ini, ada beberapa misi yang anda perlu selesaikan.
Yang penting, jangan biarkan anda dijangkiti wabak dari zombi. Rumah seram ini akan beroperasi dalam tempoh masa yang terhad sahaja. Jadi jangan lepaskan peluang untuk rasai pengalaman dikejar zombi.