Menjelang bulan Ramadan, pasti ramai individu mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengagihkan sumbangan makanan kepada golongan gelandangan. Aktiviti seperti ini menggalakkan masyarakat untuk lebih prihatin terhadap golongan yang memerlukan.
Namun menerusi akhbar Harian Metro, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan dalam satu kenyataan bahawa NGO atau mana-mana individu tidak dibenarkan untuk mengagihkan sumbangan makanan kepada gelandangan secara terus di sekitar pusat bandar raya sepanjang bulan Ramadan.
DBKL memaklumkan kawal selia itu dilaksanakan bagi mengelak berlakunya pembaziran dan kekotoran sekaligus untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
Walau bagaimanapun, individu yang ingin membuat pengagihan makanan masih boleh dilakukan melalui dua pusat gelandangan iaitu di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan Pusat Khidmat Gelandangan Meda Tunku dan satu pusat komuniti iaitu Pusat Pembelajaran Komuniti, Chow Kit.
Hal ini berhubung apabila pihak DBKL mendapati terdapat beberapa pihak mengagihkan makanan di lokasi ‘hotspot’ golongan gelandangan khususnya di pusat bandar. Justeru, hal ini menimbulkan gangguan dan ketidakselesaan kepada pemilik premis dan menunjukkan persepsi negatif masyarakat terhadap DBKL.
Aktiviti pengagihan makanan ini kelihatan tidak dapat dikawal terutamanya pada bulan Ramadan. DBKL menyarankan kepada orang ramai yang ingin menyumbang perlu menghubungi talian 03-26176321 untuk tujuan penjadual agihan.