Berikutan pembatalan dua penerbangannya yang telah menyebabkan lebih 200 penumpang terkandas, Rayani Air akhirnya membuka mulut mendedahkan sebab perkara itu berlaku.
Syarikat penerbangan patuh syariah itu berkata pesawat boeing 737 miliknya tidak mengalami masalah teknikal tapi cermin utama di kokpit retak.
Difahamkan, mereka telah mengesan kerosakan itu selepas penerbangan malam semalam.
Syarikat tersebut kini sedang menyiasat sama ada kerosakan itu disebabkan perbuatan khianat atau sebaliknya.
“Bagi pihak Rayani Air, kami memohon maaf akibat pembatalan penerbangan dari Langkawi hari ini. Pembatalan ini bukan kerana masalah teknikal,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan sebagaimana lapor tv14.my
“Cermin di bahagian kokpit pesawat kami didapati retak selepas penerbangan malam tadi. Kami sedang menyiasat insiden ini sama ada ia tindakan khianat atau tidak.”
Susulan pembatalan penerbangan itu, lebih 200 penumpang terkandas di lapangan terbang di Langkawi.
“Buat masa ini, kami sedaya upaya sedang memastikan semua penumpang kami yang terkandas dapat meninggalkan Langkawi dalam keadaan selamat,” kenyataan itu dipetik.
“Kami sesungguhnya memohon maaf dan berharap penumpang memahami keadaan ini.”