Lif adalah satu komponen yang sangat penting dalam semua rumah high rise kerana dapat membantu dan memudahkan penduduk terutamanya mereka sudah berusia atau golongan OKU yang bergantung kepada kerusi roda untuk ke mana-mana.
Malangnya, bagi penduduk Apartmen Permata Fadason di Kepong ini dia terpaksa turun dan naik tangga gara-gara kerap rosak dan tidak dapat digunakan.
Berkongsi kepada The Star, katanya apartmen tersebut dilengkapi dengan dua lif di mana satu daripadanya untuk tingkat bernombor ganjil manakala satu lagi untuk tingkat bernombor genap.
Bagaimanapun, sejak dua tahun yang lalu lif tersebut kerap rosak dan tidak berfungsi membuatkan penduduk kecewa terutamanya mereka yang menggunakan kerusi roda.
Terpaksa batal appointment hospital, terkurung dalam rumah bila lif rosak
Chow Mei Hsia, salah seorang penduduk berkata dia terpaksa membatalkan temu janji hospital untuk kecederaan tulang belakang sebanyak dua kali sebelum ini kerana dia tidak dapat turun dengan kerusi roda akibat lif rosak.
Menetap di tingkat sembilan, Chow juga berkata suaminya, Anthony Martin juga berstatus OKU dan menggunakan kerusi roda kerana menderita sakit polio.
Kongsinya, badan suaminya hanya berfungsi di bahagian pinggang dan atas jadi dia terpaksa turun naik tangga dengan mengesot pada masa yang sama menolak kerusi roda.
Saya tidak dapat berbuat begitu (sakit tulang belakang). Disebabkan tidak dapat turun ke bawah apartmen, saya terkurung di dalam rumah dan kebanyakan masa saya terpaksa bertahan dengan makan mi segera dan telur.
Tambahnya, sesetengah penghantar makanan pernah menolak pesanannya apabila diberitahu dia tidak dapat turun untuk mengambil makanannya.
Selepas membuat banyak aduan kepada pihak pengurusan, Chow dimaklumkan bahawa masalah lif rosak yang sering berlaku itu adalah disebabkan bayaran penyelenggaraan yang rendah iaitu sebanyak RM65 sebulan.
Ahli Parlimen Kepong sanggup bantu
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam satu sidang media yang diadakan telah menyebut tentang permasalahan tersebut dan berkata dia tidak boleh meminta bantuan pihak berkuasa memandangkan apartmen itu diuruskan oleh badan swasta.
Bagaimanapun, dia akui sanggup menambah jumlah wang yang diperlukan untuk membaiki lif terbabit.
Jika pihak JMB boleh sediakan RM50,000 untuk baiki lif itu, saya akan tambah RM50,000. Jadi jumlah RM100,000 sepatutnya mencukupi untuk membaiki dua lif itu.
Lim turut mengingatkan bahawa para penduduk juga perlu melunaskan tanggungjawab mereka membayar bayaran penyelenggaraan agar pihak JMB dapat memastikan kemudahan penting dibaiki dan dijaga dengan baik.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.