Hari ini, Ustaz Zulkeifli Hamat, seorang penceramah motivasi telah memberikan pendapat melalui mStar Online bahawa lamaran terbuka yang dibuat oleh pelakon Hairul Azreen boleh memesongkan akidah.
Kami telah menerima satu surat dari seorang pembaca yang bernama Amallia Aziz. Amallia memberi pendapat bahawa perbuatan itu tidaklah sehingga memesongkan akidah. Ikuti pendapat Amallia seperti di bawah:
Saya merujuk kepada tulisan Encik Zulkeifli Hamat, seorang pakar motivasi, mengenai isu lamaran Hairul Azreen kepada Hanis Zalikha.
Jika AKIDAH seorang muslim terpesong, makanya muslim tersebut telah murtad. Kenyataan bahawa lamaran tersebut boleh memesongkan akidah adalah satu kenyataan yang amat berat dan seharusnya disokong dengan Quran/hadith, atau sekurang-kurangnya pendapat jumhur ulama’. Sebagai seorang pakar motivasi, pastinya bidang encik Zulkeifli amat berbeza dari bidang para asatizah dimana mereka lebih memahami ilmu agama dengan lebih terperinci. Walau saya setuju bahawa setiap insan berhak atas pendapatnya sendiri, namun ia tidak seharusnya menyentuh hal berkaitan agama atau fakta melainkan dari yang ahlinya. Pastinya Encik Zulkeifli menyedari bahawa di masa kini, yang canggih dengan media sosial semakin meluas, pendapat sebegini boleh mengelirukan masayarakat akan apakah hukum sebenar didalam Islam.
Perkataan “will you marry me?†mengandungi sama maknanya dengan sudikah awak menikahi saya. Hanya perbezaan bahasa. Agama Islam adalah agama untuk semua umat dimuka bumi ini, tidak mengira bangsa atau bahasa. Bagaimanakah situasi apabila seorang muallaf yang berbangsa Eropah hendak meminang seorang muslimah? Harus menggunakan bahasa Melayu? Pastinya ianya berbunyi “will you marry me?â€. Adakah itu memesongkan akidah? Hanya dengan penggunaan bahasa bangsa lain, tidak bererti kita menyerupai agama lain.
Harus saya pertekankan di sini perbezaan antara agama dan budaya. Mengikuti budaya bangsa lain tidak semestinya ia memesongkan akidah. Selagi ia tidak bercanggah dengan hukum dan syarak, ia seharusnya dibolehkan dalam Islam, apatah lagi jika ia mendatangkan faedah pada umat islam sejagat. Contohnya, agama Kristian sering menyanyi lagu ketuhanan mereka di gereja. Adakah dengan kita berselawat menggunakan alunan lagu juga menyerupai orang beragama Kristian?
Sebaliknya, walaupun sesuatu perkara yang merupakan budaya bangsa melayu sendiri, tetapi ia bercanggah dengan hukum dan syarak, ia seharusnya diharamkan. Contohnya, majlis berinai yang bercampur lelaki dan perempuan, wang hantaran yang membebankan dan majlis persandingan (yang memperlihatkan isteri anda pada lelaki yang bukan muhrim) haruslah ditegur.
Menyentuh tentang tarian yang dilakukan sebelum lamaran yang dibuat, tarian itu mungkin adalah sebahagian dari persembahan pada malam Gegar Vaganza dan tidak ada kena mengena dengan lamaran tersebut. Encik Zulkeifli seharusnya membuat pengesahan dahulu sebelum memberi pendapat tersebut kerana ditakuti ianya akan menjadi fitnah.
Secara jujur, perbuatan lamaran itu sendiri, walaupun tidak mengikut Sunnah Rasullulah swt, ianya tidaklah sampai boleh memesongkan akidah. Saya setuju bahawa ia boleh mengaibkan kedua-dua pihak jika ianya tidak berakhir dengan akad nikah, namun dengan lamaran tersebut juga, ia adalah sebagai pemberitahuan kepada lelaki bukan muhrim yang lain bahawa Hanis bakal menjadi isterinya, supaya ianya tidak menjadi fitnah dikemudian hari jika ada lelaki lain melamar Hanis. Walau lamaran tersebut tidaklah sesuatu yang digalakkan dalam islam (kerana aurat yang terdedah, acara hiburan, dan sebagainya), aksi lamaran tersebut tidaklah sampai boleh memurtadkan seseorang. Mungkin jika lamaran tersebut dilakukan secara langsung, berlatar-belakangkan situasi yang lebih cenderung pada agama Islam, pastinya ia menjadi suatu amalan yang harus dicontohi.
Kepada Encik Zulkeifli, mungkin dimasa hadapan, sebelum memberi sebarang kenyataan dan komen, harus dipertimbangkan dahulu apakah kesan berikutan penulisan kita, lebih-lebih lagi berkaitan dengan akidah.
Wassalam.
Amallia Aziz
Begitulah pendapat Amallia tentang isu lamaran secara terbuka tersebut. Boleh dikatakan apa yang diutarakan oleh Amallia ada asasnya. Ketika melakukannya, mungkin Hairul Azreen, Hanis Zalikha dan pihak Astro sendiri tidak beniat sehingga ke tahap memesongkan akidah, namun ia boleh menjadi pengajaran di masa akan datang untuk mengelakkan kontroversi seperti ini dari berulang. Sila berikan pendapat anda di ruangan komen.