Sekumpulan pencuri yang nekad mencuri khemah bakal menghadapi nasib malang kerana khemah yang dicuri mereka merupakan khemah yang diguna pakai untuk menjalankan saringan COVID-19. Pihak berkuasa meminta secara tegas pencuri tersebut datang menyerah diri kerana dikhuatiri terdedah dengan risiko jangkitan COVID-19.
Khemah tersebut diletakkan di luar hospital di Auckland dan dicuri ketika petugas kesihatan sedang dalam proses menyediakan kemudahan lengkap untuk memulakan proses saringan COVID-19 untuk rakyat New Zealand.
Kehilangan khemah tersebut disedari kakitangan perubatan ketika ingin memulakan tugas di awal pagi. Pencuri tersebut kurang cerdik melakukan kerja-kerja mereka kerana sanggup membawa lari khemah saringan COVID-19 tanpa memikirkan risiko yang boleh membuatkan mereka dijangkiti.
Meskipun kaki khemah diletakkan konkrit untuk mengukuhkan kestabilan khemah tersebut, pencuri tetap mampu mencurinya dengan memotong kaki khemah itu. Pihak polis dengan tegasnya meminta pencuri tersebut memulangkan kembali khemah tersebut kerana virus COVID-19 mampu bertahan di permukaan luar untuk beberapa hari.
Kebimbangan pihak polis adalah sekiranya pencuri tersebut mempunyai kontak dengan khemah tersebut dan virus tersebut menjangkiti mereka tanpa mereka sedari. Ini akan menyebabkan ujian saringan perlu dilakukan terhadap pencuri tersebut walau apa pun yang berlaku.
Kehilangan khemah saringan itu juga memberi kesusahan kepada petugas perubatan yang lain untuk mencari khemah gantian yang lain dalam keadaaan yang kian meruncing. Sehingga ke hari ini, New Zealand telah merekodkan 650 kes positif COVID-19 dan juga satu kes kematian.