Drama yang kini ‘panas’ dan mendapat tontonan ramai, 7 Hari Mencintaiku 2 nampaknya telah mencetus fenomena berikutan lakonan mantap para pelakon yang membintangi naskah tersebut.
Antara pelakon yang terlibat dalam penghasilan drama tersebut ialah Shukri Yahaya, Liza Abdullah, Wan Sharmilla dan Syazwan Zulkifli yang baru-baru ini telah dijemput untuk menghiasi segmen Geng Pagi Hot di radio Hot FM, Isnin lalu.
Diundang ke stesen radio berkenaan bagi mempromosikan drama tersebut, pelakon Liza Abdullah yang membawa watak Mak Leha iaitu ibu kepada Shukri Yahaya mengakui telah menerima banyak komen negatif gara-gara watak yang dibawa olehnya dalam drama tersebut.
“Saya akui memang ada orang komen yang membenci saya kerana watak Mak Leha, tapi awal-awal lagi saya cakap saya dah maafkan semua yang komen itu. Saya faham mungkin mereka benci saya kerana Mak Leha tapi saya harap mereka tak benci dengan Liza Abdullah,”
Dia turut sempat mengucapkan terima kasih kepada peminat di luar sana yang sentiasa menyokong drama 7 Hari Mencintaiku sehingga telah masuk ke musim yang ke-2 kini.
Naskah yang dibintangi bintang-bintang hebat itu kini bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3 menerusi slot Akasia.