Tular di aplikasi X semalam mengenai dakwaan seorang wanita dipercayai kakak kepada seorang pemuda yang ditangkap Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di luar SOP selain dinafikan hak untuk berhubung dengan ahli keluarga ketika ditahan.
Dalam hantaran asal, pemuda berusia 22 tahun itu didakwa ditangkap ketika dalam perjalanan pulang ke rumah oleh AADK sekaligus membuatkan ahli keluarganya risau kerana gagal dihubungi.
Menurut pengadu (kakak pemuda terbabit), adiknya ditahan secara paksa dan turut tercedera akibat bergelut dengan pegawai AADK bertugas.
Adik saya cedera di tangan ketika bergelut dan dimasukkan ke dalam van. Dia dibawa ke lokap AADK di Cheras. Di sana mereka tak bagi dia contact family, duduk bercampur dengan penagih dalam satu sel pic.twitter.com/FXSlQytMGJ
— Syaida Ilmuna 🇲🇾 (@syaidailmuna) June 12, 2024
Malah, adiknya turut tidak dibenarkan menghubungi ahli keluarga bagi memaklumkan keberadaannya.
Berikutan tularnya dakwaan itu, pihak AADK tampil memberi kenyataan dan memaklumkan penahanan tersebut mengikut SOP ditetapkan.
Pihak AADK turut menceritakan kronologi penahanan di mana menurut pihak mereka, pemuda tersebut didakwa cuba melarikan diri sebanyak dua kali ketika disoal siasat.
Agensi tersebut turut mengakui dokumentasi mengenai penangkapan ketika Op Pengesanan Perdana yang dilakukan pada hari yang sama ketika kejadian mengambil masa yang lama namun masih mematuhi standard yang ditetapkan dalam APD 1983.
AADK turut memaklumkan bahawa pihak mereka mengambil serius mengenai tatakelola pegawai dan akan lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas selepas ini.