Sikap bertimbang rasa yang ditunjukkan oleh seorang pemuda dari Sabah ini mendapat pujian ramai di media sosial. Dia yang baru sahaja pulang daripada Jepun rela berjalan kaki sejauh 100km untuk ke kampungnya bagi mengelakkan risiko orang lain mendapat jangkitan darinya yang baru pulang dari luar negara.
Sebaik sahaja Alixson Mangundok tiba di lapangan terbang, dia terus melakukan ujian saringan COVID-19 untuk mendapatkan pengesahan. Sebagai langkah berjaga-jaga, dia tidak menaiki apa-apa kenderaan untuk pulang ke kampungnya. Malah, dia memilih untuk tidak menaiki pengangkutan awam mahupun meminta ahli keluarga datang mengambilnya.
“Kebimbangan itu juga membuatkan saya menolak menaiki kenderaan abang yang datang menjemput di lapangan terbang atau pengangkutan awam.”
Perjalanan pulang ke Kota Marudu dari Kota Kinabalu itu turut ditemani oleh seekor anjing misteri yang turut mengikuti perjalanan solo nya itu. Apabila ditanya mengenai identiti anjing tersebut, dia menganggap haiwan itu adalah kiriman Tuhan kepadanya sebagai peneman di sepanjang perjalanan.
Menariknya, sebelum dia pulang ke Malaysia, dia sempat melawat kuburan Hachiko di Shibuya, Jepun dan berdoa untuk keselamatan perjalanan pulangnya ke Malaysia. Sementara mendoakan supaya wabak COVID-19 ini akan segera hilang.
Perkongsian perjalanan pulangnya itu dikongsikan oleh adiknya di laman Facebook dan mendapat pujian daripada ramai netizen. Rata-rata memuji sikap tidak mementingkan diri yang ditonjolkan pemuda ini walaupun dirinya tidak menunjukkan sebarang simptom dijangkiti.
Untuk makluman, kerajaan sendiri sebelum ini telah menasihati mereka yang baru pulang dari luar negara untuk melakukan kuarantin sebaik pulang ke tanah air. Pemuda ini sendiri telah mengasingkan diri dan kuarantin di sebuah rumah kebun milik datuknya sebaik sahaja tiba di kampung.
Artikel berkaitan: Gadis Dikecam Komen Pusat Kuarantin 14 Hari ‘Nampak Macam Penjara’