Sebuah kediaman di Bandar Sungai Long, Kajang diceroboh penjenayah sehingga menyebabkan pelbagai barangan berharga termasuk motosikal Yamaha RX-Z serta topi keledar jenama Shoei dan Arai dilarikan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 9.03 pagi, Ahad daripada seorang lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjawat awam.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa dan isterinya tiada di rumah.
Pemeriksaan mendapati barang yang dilarikan suspek ialah barang kemas, empat unit topi keledar jenama Shoei dan Arai, dua motosikal jenis Yamaha RX-Z dan Yamaha LC135 V8.
Mangsa dianggarkan mengalami kerugian hampir RM360,000 dan pasukan forensik polis telah hadir menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah) dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan (curi motosikal). Siasatan juga sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.

Polis turut meminta orang ramai tampil membantu sekiranya mempunyai maklumat berkaitan.
Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Sharulhasram Ramli di talian 017-2530380.
Sebelum ini, pempengaruh Nanad Bebe turut memohon bantuan orang ramai di media sosial untuk mengenal pasti barangan miliknya yang dicuri selepas rumahnya di Sungai Long diceroboh.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
