Misteri kehilangan pempnegaruh permotoran dikenali sebagai Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38 atau Ija akhirnya terungkai apabila lelaki itu didapati masih hidup dan sebenarnya sudah melarikan diri ke negara jiran.
Menurut Harian Metro, hal itu terbongkar selepas terdapat keraguan dalam laporan dibuat adiknya, Tengku Abd Aziz Tengku Zainudin pada hari kejadian dan polis percaya kehilangan lelaki berusia 38 tahun itu direka-reka.
Bukan itu sahaja, adiknya berusia 30 tahun itu juga dipercayai bersubahat dan mereka cerita tentang kehilangan abangnya itu sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, adiknya bersubahat dengan menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Bukit Kepong sebelum melarikan diri.
Katanya, adik pempengaruh itu sendiri sudah mengakui melakukan tindakan tersebut dan mereka berpura-pura menjalankan usaha mencari untuk mengaburi siasatan polis.
Dua beradik itu sudah diambil keterangan dan siasatan lanjut diteruskan selepas polis memperolehi kebenaran menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Polis dilaporkan sudah membuka kertas siasatan berhubung laporan palsu dan pemberian keterangan yang tidak benar serta bersubahan di dalam insiden itu.
Kita juga mengesyaki ia sengaja direka-reka demi kepentingan peribadi.
Tambah Raiz Mukhliz, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dan Seksyen 109, bersubahat melakukan kesalahan.
Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap dua beradik itu dan polis turut menegaskan bahawa membuat laporan palsu adalah satu kesalahan dan menjejaskan tugas pasukan keselamatan.