Seorang pempengaruh media sosial, Sasha Aziz, sekali lagi mencetuskan perbincangan hangat di media sosial selepas berkongsi pengalaman menjalani prosedur rawatan laser intim di sebuah klinik kecantikan.
Menerusi satu hantaran di Threads, Sasha secara terbuka mendedahkan bahawa prosedur tersebut dilakukan selepas melahirkan tiga orang anak, dengan tujuan untuk meningkatkan keselesaan diri. Dalam perkongsian itu, beliau menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai tidak terlalu menyakitkan, namun mengakui sedikit rasa tidak selesa ketika rawatan dijalankan.
Perkongsian berterus terang itu bagaimanapun mengundang kecaman dan reaksi bercampur daripada netizen. Ramai berpendapat isu berkaitan rawatan intim wanita tidak wajar dikongsi secara terbuka di media sosial, apatah lagi dengan nada santai dan bersifat promosi. Tidak kurang juga yang mempersoalkan pengaruh kenyataan tersebut terhadap pengikut muda.
Pada masa sama, terdapat juga segelintir netizen yang mempertahankan tindakan Sasha dengan menyifatkannya sebagai hak individu serta usaha untuk menormalisasikan perbincangan mengenai kesihatan dan kesejahteraan wanita selepas bersalin.
Untuk rekod, Sasha bukan nama asing dalam kontroversi media sosial. Sebelum ini, wanita itu sering menjadi perhatian susulan gaya hidup dan penampilan yang berubah-ubah, termasuk isu pemakaian hijab serta pilihan fesyen yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
