Baru-baru ini, personaliti TV Ain Edruce ada memuat naik video dia sedang menari di dapur hingga menampakkan sedikit ‘baby bump’ seperti dakwaan peminat yang mengikutinya di media sosial.
Walau bagaimanapun,ketika dihubungi media, pelakon dan juga pengacara TV ini enggan mengesahkan bahawa dia kini berbadan dua ataupun tidak.
Menurut Ain, dia kini enggan memberi komen mengenai perkara itu namun sempat mengucapkan terima kasih kepada mereka di luar sana yang mendoakan perkara yang baik-baik buat dirinya dan suami. Tambahnya lagi, dia akan berkongsi jika sudah tiba masanya namun kini fokusnya hanya kepada kerjaya dan rumah tangga.
Dalam pada itu, Ain turut memberi komen bahawa setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya menginginkan cahaya mata dan tidak kurang juga buat dirinya dan suami.
Ketika diajukan soalan mengenai kecaman yang diterimanya selepas memuat naik video tersebut ke media sosial, Ain berkata dia tidak ambil pusing dengan komen-komen berbaur negatif daripada netizen.
“Saya selesa dikelilingi aura positif. Jadi, benda-benda negatif seperti komen kasar dan kurang manis saya memang tak layan. Saya tak mahu rasa tertekan. Siapa tak sedih baca komen-komen kesat. Jadi tak mahu fikiran saya terganggu dan sakit hati saya abaikan saja. Biarkanlah mereka dengan komen-komen seperti itu.”
Pelakon yang turut membintangi sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) ini dalam pada masa yang sama turut menyampaikan pesanan kepada masyarakat di luar sana supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan kini.
Sumber : Harian Metro