Mengambil iktibar di atas apa yang berlaku daripada penularan wabak COVID-19 kali ini, pemerintah Kota Shenzhen di China kini melarang penduduknya daripada menjual daging anjing dan kucing. Jika kita imbas kembali penularan wabak yang sedang melanda dunia kini, pakar percaya ianya adalah berpunca dari penjualan haiwan eksotik di wilayah Wuhan, China.
Penularan wabak ini bermula di sebuah pasar yang menjual haiwan eksotik dan menyebabkan penjual dan pengunjung tegar jatuh sakit secara misteri. Ketakutan penularan itu menyebabkan pasar tersebut ditutup untuk dijalankan kerja-kerja disinfeksi.
Perintah bagi larangan memakan daging anjing dan kucing akan berkuatkuasa pada 1 Mei ini selepas diumumkan oleh pemerintah Kota Shenzhen itu. Keputusan larangan ini pastinya sesuatu yang besar bagi masyarakat China di sana yang sudah menganggap ianya sebahagian daripada budaya mereka.
“Anjing dan kucing merupakan binatang peliharaan yang memiliki hubungan paling dekat dengan manusia berbanding binatang lain.”
Menurutnya lagi, larangan memakan anjing dan kucing serta binatang lain merupakan pelaksanaan umum di beberapa negara maju seperti di Hong Kong serta Taiwan. Larangan ini juga adalah sebagai satu tindak balas ke atas semangat peradaban manusia.
Untuk makluman, pada Februari yang lalu Parlimen China telah mengeluarkan arahan yang melarang sebarang aktiviti perdagangan dan penggunaan binatang. Larangan ini turut mendapat tindakan yang tegas di Kota Shenzhen khususnya.
Sebelum ini dilaporkan, warga China kembali membuka semula pasar menjual haiwan eksotik sebagai tanda ‘kemenangan’ negara mereka bebas dari wabak tersebut. Berita pembukaan pasar tersebut sudah semestinya seperti satu mimpi ngeri buat negara-negara lain yang kini sedang memerangi wabak ini.
Artikel berkaitan: Raikan Bebas COVID-19, Warga China Buka Semula Pasar Haiwan Eksotik