AirAsia Bhd akan memberi penerbangan percuma sepanjang hayat kepada semua atlet Asean yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata atlet Asean yang memenangi pingat perak dan gangsa, turut diberikan penerbangan percuma masing-masing untuk tempoh 5 dan 2 tahun.
“Atlet yang layak akan dapat terbang ke lebih 120 destinasi dalam rangkaian meluas AirAsia dan AirAsia X di Asia, Australia, Timur Tengah dan Afrika,” katanya, lapor FMT.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes berkata atlet Asean yang memenangi pingat membuktikan apa saja boleh dicapai jika yakin pada diri sendiri dan bekerja keras untuk mencapai impian.
“Mereka menunjukkan bukan saja boleh bersaing, bahkan cemerlang di pertandingan peringkat tinggi. Inilah yang kami boleh lakukan untuk mereka.
“Kami berharap ia juga akan menggalakkan orang lain di rantau ini mengikuti jejak langkah mereka. Saya berharap dapat melihat lebih banyak pingat untuk Asean pada kejohanan akan datang,” katanya.
AirAsia merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang membuat penerbangan terus ke semua 10 negara Asean termasuk 60 laluan unik di rantau ini.