Pastinya kita pernah mendengar kes mengenai keracunan gas karbon monoksida sehingga meragut nyawa sebelum ini di dada-dada akhbar.
Kejadian yang sering berlaku tanpa mangsa sedar itu difahamkan berkait rapat dengan kebocoran bahagian enjin kereta yang menyebabkan penumpang mengalami keracunan dan sesak nafas.
Dalam satu perkongsian Facebook baru-baru ini, seorang wanita telah menulis panjang lebar mengenai pengalamannya berhadapan dengan detik cemas menyelamatkan anak-anak yang terhidu gas monoksida di dalam kereta.
Dalam hantaran tersebut, wanita yang dikenali sebagai Jalilah itu mendapati anaknya tiba-tiba saja lembik dan mula tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Katanya, muka anaknya yang sedang tidur itu seakan pucat dan terbangun seketika sebelum tidak menunjukkan sebarang respon dan tidak sedarkan diri.
Panik dengan keadaan itu, wanita itu dan suaminya terpaksa mendapatkan bantuan orang sekeliling dan membawa anak mereka ke hospital.
Hasil tindakan pantas, si kecil tersebut dapat diselamatkan dan doktor juga mengesahkan bahawa anak-anak Jalilah mengalami keracunan gas karbon monoksida dan akan dipantau doktor.
Terasa bagaikan mimpi ngeri dan trauma dengan kejadian itu, Jalilah sempat memberi pesanan agar mereka yang ingin memulakan perjalanan agar memeriksa kenderaan masing-masing supaya kejadian seperti itu tidak terjadi.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang baik hati dan membantu mereka ketika dalam situasi panik dan cemas tersebut.