Disney menjadi trending di Twitter apabila orang ramai mula memberikan reaksi mereka mengenai pembukaan semula Disney World pada hari terburuk wabak COVID-19 di Florida. Tindakan pembukaan ini menimbulkan persoalan adakah mereka akan bertanggungjawab membuka ruang di mana orang ramai akan berkumpul.
Setakat semalam, Florida melaporkan 15,299 kes terbaru di mana ianya peningkatan harian terbesar dari mana-mana negeri yang pernah ada. Manakala pada hari Sabtu, Florida melaporkan peningkatan kes ketiga tertinggi dalam sehari dengan 10,360 jangkitan baru dan juga 95 kematian.
Florida adalah salah satu kawasan yang paling teruk dilanda gelombang baru kes dan kematian di Amerika Syarikat.
Di Orlando, Disney World membuka semula dua dari empat tamannya iaitu Magic Kingdom dan Animal Kingdom setelah empat bulan ditutup. Sementara, Epcot dan Disney Hollywood Studios akan dibuka pada hari Rabu.
Beberapa ratus pengunjung dilihat beratur di Florida menjelang pembukaan semula dengan semuanya memakai topeng muka. Ianya adalah sebahagian daripada garis panduan baru taman tema itu yang memerlukan kedua-dua tetamu dan pekerja untuk memakainya.
Antara garis panduan yang dilakukan adalah pemeriksaan suhu di pintu masuk dan hand sanitizer yang banyak tersedia di dalam kawasan taman tema itu. Disney mengatakan bahawa pihaknya melakukan jarak sosial sejauh enam kaki (2m) di tempat-tempat tarikan dan di dalam kedai.
Ironinya maklumat di paparan laman Disney turut memberitahu, dengan mengunjungi Walt Disney World Resort, pengunjung secara sukarela menanggung semua risiko yang berkaitan dengan pendedahan kepada COVID-19.
Di media sosial, ramai yang mengkritik pembukaan semula taman ini memandangkan Florida adalah kawasan yang paling teruk terjejas di AS. Sehinggakan iklan pembukaan semula yang dilakukan Disney ini disunting oleh pengguna media sosial untuk tidak menggalakkan orang ramai hadir ke taman tema itu.
They finally got the Disney World ad right. pic.twitter.com/avy2PUOQXQ
— Jimmi Simpson (@jimmisimpson) July 12, 2020
Di sebalik kritikan mengenai pembukaan semula Disney World, taman tema ini dilaporkan telah mula menerima jumlah pengunjung yang ramai. Apa yang lebih mengejutkan, tiket bagi Disney World bagi bulan Julai sudah habis dijual semuanya. Setakat ini, Amerika Syarikat kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 3,413,995 kes dengan 137,782 kematian.