Sebelum ini tular seketika di media sosial apabila proses lelongan harta usahawan terkenal Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman tertunda seketika apabila pembida berjaya telah menghilangkan diri.
Untuk rekod, individu yang melarikan diri itu dikenali sebagai Mohd. Syazwan itu telah berjaya memenangi bidaan harta Sajjad pada nilai RM132,000 mengalahkan lapan pembida yang lain.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan hari ini sebagai tarikh baru untuk proses lelongan semula, seperti yang dilaporkan Kosmo Online.
Menurut peguam Nurul Hafidzah, acara itu telah disertai tiga orang pembida yang kemudiannya dimenangi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Chai Liong Huat yang berusia 67 tahun.
Ujar Hafidzah lagi, individu itu diibaratkan seperti mendapat ‘durian runtuh’ apabila telah berjaya memenangi bidaan dengan harga serendah RM42,000.
Sesi lelongan itu dimulakan dengan bukaan harga RM60,000 namun diturunkan kepada RM50,000 dengan kenaikan sebanyak RM5,000 untuk setiap bidaan.
Tiada pembida yang membuat bidaan dan kami perlu menurunkan harga lelongan kepada RM40,000 dengan kenaikan sebanyak RM2,000.
Antara barangan yang berjaya dilelong adalah seperti piano jenama Young Chan, set bilik tidur, pendingin hawa, perabot dan sebagainya.
Hafidzah juga memaklumkan bahawa pembida berjaya telah melangsaikan pembayaran secara penuh dan proses bidaan kali kedua ini telah berjalan lancar tanpa sebarang isu yang tidak diingini.