Pemberi Dan Peminta Sedekah Bakal Disaman – Menteri Wilayah Persekutuan

Trending

Pemberi Dan Peminta Sedekah Bakal Disaman – Menteri Wilayah Persekutuan

Kian hari, semakin ramai peminta sedekah menjalankan operasi di ibu negara. Yang pelik, mereka ini nampaknya sihat walafiat.

Biasanya mereka membawa bersama kanak-kanak untuk meminta sedekah. Yang lebih menyedihkan, terdapat jua kanak-kanak yang membentang tikar untuk meminta sedekah di jalanan, sedangkan mereka sepatutnya berada di sekolah. Kanak-kanak ini dipercayai disuruh berbuat demikian oleh orang dewasa untuk mencari jalan mudah mendapatkan wang. Ini kerana kanak-kanak lebih menimbulkan simpati.

Advertisement

Ramai orang menganggap ini perkara kecil. Bagi mereka, yang penting mereka bersedekah. Kalau pengemis menipu itu urusan mereka dengan tuhan.

Namun adakah perkara seperti ini semudah hitam dan putih?

Jika dengan bersedekah kepada penipu, maka penipu itu terus bersikap malas berusaha dan memusnahkan daya kanak-kanak untuk mengenali erti usaha, adakah kita yang seolah menggalakkan penipuan seperti ini akan mendapat pahala atau dosa?

Menyedari akan keseriusan gejala ini, memetik laporan BERNAMA, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu bahawa pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat.

Langkah itu akan dilaksana di beberapa tempat tumpuan bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara.

Tengku Adnan berkata keputusan itu diambil selepas pihaknya bermesyuarat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa agensi berkaitan baru-baru ini yang antara lain, membincangkan masalah kebersihan serta isu gelandangan.

Kita akan ambil satu kaedah di mana yang pemberi kita akan saman dan penerima pula akan kita ‘angkut’ kerana kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing.

Bagi yang gemar bersedekah, mungkin akan menganggap bentuk hukuman seperti ini agak ekstrim.

Namun masalah peminta sedekah termasuk warga asing di Malaysia sudah wujud sejak tahun 90’an, dan jumlah peminta sedekah kian bertambah.

Apabila kita bersedekah dengan tidak memeriksa atau mengira latar belakang peminta sedekah itu sehingga ia menjadi satu budaya bagi golongan seperti mereka mendapatkan wang mudah dan menggalakkan individu bersikap malas berusaha, mungkin tidak ada keberkatan dari sedekah itu.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w sedang berdiri di atas mimbar. Baginda memperkatakan mengenai sedekah dan menjaga diri dari meminta-minta. Baginda bersabda: Tangan yang berada di atas itu lebih baik daripada tangan yang berada di bawah. Tangan yang berada di atas adalah yang memberi manakala yang berada di bawah adalah tangan yang meminta (Hadis Sahih Muslim)

Oleh itu, jika ingin bersedekah, ada baiknya kita beli makanan atau keperluan dan menghantarnya terus ke rumah anak yatim dan orang tua bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Atau kita buat saja kenduri untuk doa selamat dan niat bersedekah makanan dan minuman semampunya kepada penduduk kejiranan kita.

Kita juga boleh menghantar buah-buahan ke masjid untuk menjamu jemaah yang bersembahyang dengan niat bersedekah.

Apa pendapat anda?

Laporan asal: BERNAMA via Sinar Harian
*pendapat yang diutarakan ialah pendapat peribadi penulis, tidak kena-mengena dengan mana-mana organisasi.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...