Baru-baru ini, seorang individu tampil memberikan ulasan tentang Kek Hitam Premium yang dijual oleh seorang pempengaruh terkenal iaitu Fendymojo.
Menerusi perkongsian tersebut, dia telah membeli kek tersebut menerusi penghantaran pos dan selepas dia membuka penutup bekas kek itu, dia berasa kesal apabila melihat keadaan kek tersebut yang didakwa sudah berkulat.
Difahamkan, dia telah membuat pesanan pada 16 Mac lalu dan menerima bungkusan itu selepas beberapa hari.
Penghantaran memang laju, lepas saya order mereka terus hantar.
Walaupun dah hantar awal, tapi ada kesan putih (kulat). Saya sebenarnya ada beli kek lain yang lebih awal dari kek ini tapi belum berkulat lagi.
Saya pun tak tahu bila dia buat kek ni. Saya dah buang kulat tu, harapnya tak sakit perut bila makan.
Walaupun sudah ada kesan kulat, individu tersebut tetap mencuba kek itu namun menurutnya tidak berbaloi untuk dibeli.
Coklat ganache itu tutup rasa kek coklat yang biasa. Yang premium itu coklat ganache, bukan kek.
Rasanya tak terlalu manis dan tak muak tapi untuk harga RM39, pada saya tetap mahal. Bagi saya tak berbaloi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meminta agar pempengaruh itu meningkatkan kualiti makanannya agar bersesuaian dengan harga.
Dalam pada itu, orang ramai menasihati individu tersebut untuk tidak menjamah sebarang makanan yang sudah berkulat kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatannya.