Tindakan seorang pemandu lori treler membawa padah apabila dia dikesan membawa lebih dua tan daun ketum. Polis berjaya menahannya sewaktu dia berhenti di tepi jalan di Batu Menunggu, Pendang untuk membeli makanan, pada Rabu.
Dikatakan suspek mengisi daun-daun ketum itu ke dalam kotak-kotak ‘bantuan makanan’ untuk dihantar ke Sungai Buloh kononnya sebagai bantuan keperluan asas.
Menerusi laporan Astro Awani, Deputi Superitendan Arriz Sham Hamezah selaku Ketua Polis Daerah Pendang berkata menurut maklumat dan risikan, pasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dan Balai Polis Sungai Tiang mengekori treler berkenaan.
Sejurus membuat pemeriksaan, anggota polis menemukan 102 kotak yang berisi daun ketum segar. Suspek mengaku menerima upah sebanyak RM 7,000 untuk membawa daun-daun ketum tersebut.
“Sebelum ini upah hanya RM 2,000 tapi sekarang jadi RM 7,000. Mungkin ini disebabkan banyak risiko yang perlu pemandu lori lalui ketika PKP apabila melalui sekatan jalan raya”
Menurut Arriz Sham, suspek yang berusia 36 tahun itu mempunyai rekod kesalahan dimana ini merupakan kali kedua suspek melakukan kegiatan tersebut selepas tiga minggu lalu.
Siasatan juga mendapati, majikan pemandu lori berkenaan tidak mengetahui tentang kegiatan ini memandangkan lori treler diparkir di rumahnya dan lelaki ini bekerja dengan sebuah syarikat barangan yang beralamat di Alor Setar sejak tiga tahun lalu.
Hasil rampasan daun ketum bernilai RM 65,000 tidak termasuk lori treler yang disita.