Seorang pemandu lori yang membawa bungkusan syarikat kurier rentung selepas kenderaan yang dipandunya merempuh sebuah lori tangki cecair nitrogen. Hal itu menyebabkan berlaku satu kebakaran di kilometer 221.7 Lebuh Raya Utara Selatan, Alor Gajah, pagi tadi, lapor akhbar Kosmo.
Mangsa, Mohamad Syazwan Mohd Romli, 29, ditemukan rentung di tempat pemandu dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi tadi dan mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dalam masa 12 minit.
Pemandu lori tangki yang dikenali sebagai Kamarulzaman, 43, berkongsi detik-detik cemas yang dilalui di tempat kejadian.
Pada awalnya dia mendengar jeritan mangsa yang meminta tolong dan ada juga beberapa pemandu lori lain berhenti dan cuba untuk mengeluarkannya namun usaha itu gagal.
“Kami dapati bahagian pemandu memang telah remuk teruk”
“Beberapa pemandu lain tetap berusaha cuba mengopak pintu pemandu tetapi tidak berhasil dan api mula merebak cepat”
“Kami terpaksa menunggu bantuan pasukan bomba tiba”
Tambahnya, sebelum kejadian, lori tangki yang dipandunya mengalami kerosakan selepas melanggar sebuah treler membawa muatan bijih besi lalu dia memberhentikan lori yang dipandunya di lorong paling kiri jalan.
Menurutnya lagi, dia sudah meletakkan kon dan berdiri di belakang lori tangki dan memberi isyarat, namun lori syarikat kurier itu tidak sempat mengelak dan terus merempuh lori tangki berkenaan.
Walau bagaimanapun, pemandu lori tangki berkenaan dilaporakan sempat melompat ke bahagian bahu jalan.