Seorang peniaga atas talian Vintage Sac My hari ini ada meluahkan rasa kekecewaaan apabila mendakwa telah ‘terpedaya’ dengan syarat dan peraturan sebuah syarikat kurier sehingga menyebabkan mereka kerugian ribuan ringgit.
Dalam hantaran Facebook tersebut, mereka memaklumkan bahawa telah menghantar sebuah beg berjenama mewah iaitu Louis Vuitton Locky BB Parcel ini Blue Jean menerusi perkhidmatan kurier mereka.
Dan seperti kebiasaan, perkhidmatan kurier itu akan datang mengambil barang yang ingin dihantar sebelum menyerahkan ke pintu rumah pelanggan.
Namun begitu, barangan yang diamanahkan ‘lesap’ setelah pelanggan mengadu tidak menerima sebarang ‘parcel’ dan juga pemandu kurier juga telah menghilangkan diri.
Sebagai peniaga yang beretika, mereka secara rela hati telah membayar ganti rugi secara penuh bernilai RM6,500 kepada pelanggan dan turut ‘follow-up’ syarikat kurier tersebut di atas kehilangan barangan tersebut.
Syarikat kurier tersebut dilaporkan memberi respon dan berjanji akan melakukan siasatan mengenai isu tersebut namun setelah beberapa hari, peniaga tersebut telah menerima email yang telah memberi keputusan yang mengecewakan.
Menurut syarikat kurier tersebut, peniaga tersebut tidak membeli perlindungan insurans dan hanya mendapat pampasan barang hilang bernilai RM400, 10% daripada jumlah asal.
Dakwa peniaga tersebut, mereka tidak menjumpai sebarang pilihan untuk membeli perlindungan insurans di laman web rasmi syarikat kurier tersebut, malah pampasan yang diberikan adalah sekadar ‘kredit’ dan digunakan kembali untuk penghantaran barang kemudian hari.
Berikutan itu, pemilik butik tersebut menasihatkan agar peniaga di luar sana lebih berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan kurier tersebut selain meneliti terlebih dahulu ‘Terms & Condition’ yang disertakan di laman web mereka.