Pemandu e-hailing yang dilaporkan hilang sejak 12 Julai lalu sudah ditemui selamat oleh pihak polis, semalam.
Syahrul Asyraf Dahlan, 33, dijumpai di tepi jalan Pandamaran, Klang pada jam 5.40 petang dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Menurut polis, Syahrul Asyraf tertekan akibat mengalami masalah kewangan membuatkannya menghilangkan diri.
Hasil temu bual awal pihak polis mendapati lelaki itu tidak memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai keberadaannya kerana dalam keadaan tekanan berikutan masalah kewangan kritikal.
Dalam pada itu, pihak keluarga Syahrul Asyraf sudah dimaklumkan tentang penemuannya.
Terdahulu, keluarga membuat laporan polis selepas tidak dapat menghubungi Syahrul Asyraf dan kali terakhir ahli keluarga berhubung adalah pada Khamis lepas.
Ketika berbalas mesej di Whatsapp, abangnya berkata Syahrul ada memberitahu dia mungkin akan menghantar seorang penumpang ke Teluk Intan, Perak.