Seorang pemandu bas ekspres yang tular di media sosial selepas dirakam meriba seorang wanita ketika memandu telah dipecat serta-merta oleh Sri Maju Group.
Dalam satu kenyataan rasmi, syarikat itu mengesahkan bahawa individu terbabit merupakan pekerja mereka dan kejadian tersebut berlaku ketika bas sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Larkin, Johor.

Menurut syarikat itu, selain tindakan pemecatan, laporan polis turut dibuat terhadap lelaki berkenaan dan kes tersebut juga telah dirujuk kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut.
“Kami dengan ini memohon maaf dengan setulus-tulusnya dan tanpa sebarang syarat kepada semua penumpang terlibat serta orang awam.”
“Setiap perkhidmatan awam berhak menerima perkhidmatan yang selamat, bertanggungjawab dan profesional pada setiap masa,” katanya.
Dalam masa sama, Sri Maju Group memaklumkan pihaknya sedang mengambil langkah tambahan dengan memasang sistem pengawasan video bagi pemandu serta di dalam bas yang masih belum dilengkapi kemudahan tersebut.
(VIDEO) Pemandu Dirakam Pandu Bas Sambil Riba Wanita, Penumpang Tegur Namun Diherdik
“Rakaman video tersebut amat mengecewakan, membimbangkan dan sama sekali tidak boleh diterima. Keselamatan serta keselesaan para penumpang sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami.”
“Tingkah laku yang dipaparkan dalam video tersebut merupakan suatu pelanggaran serius terhadap prosedur operasi standard syarikat, selain bercanggah sama sekali dengan tataetika profesional yang kami tetapkan bagi semua pemandu kami,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak syarikat sentiasa berusaha mengekalkan kepercayaan pelanggan, namun mengakui insiden seperti ini tetap boleh berlaku walaupun pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan.
Sri Maju Group turut menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang tingkah laku yang boleh membahayakan keselamatan penumpang dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
