Selepas sekian lama berdiam diri mengenai isu rumah tangga bersama madunya, personaliti media sosial, Umisya Mazlan tampil menjelaskan keadaan sebenar dan menafikan spekulasi tidak berasas yang tersebar mengenai dirinya.
Dalam perkongsian di Instagram Story, Umisya, yang juga merupakan madu kepada pempengaruh Marissa Dania, menegaskan bahawa keputusannya untuk diam selama ini adalah demi menjaga keharmonian semua pihak. Namun, dia kini memilih untuk bersuara agar keadaan sebenar difahami.
Tulisnya dengan penuh perasaan,
Banyak yang boleh diceritakan dari A hingga Z, tapi cukuplah dengan bersuara untuk membuktikan kepada orang dan dunia. Diam saya ini untuk kebaikan semua, tapi saya harap jangan timbulkan spekulasi yang tidak patut tentang saya.
Umisya juga menasihati orang ramai supaya berpada-pada dalam bercakap kerana tidak semua mampu memahami situasi seseorang tanpa mengalaminya sendiri. Tambahnya,
Orang tidak nampak bila kita bersabar, tapi mereka cepat menilai apabila kita lantang bersuara.
Selain itu, Umisya menegaskan bahawa dia juga manusia biasa dengan perasaan, sebagai seorang wanita, isteri, dan ibu. Katanya,
Cukuplah apa yang saya telan selama ini. Saya juga ada hati, ada perasaan, dan ibu kepada anak-anak saya. Saya tiada suami lain yang boleh pertahankan saya kecuali suami dan ayah kepada anak-anak saya.
Sebelum ini, ibu kepada Marissa, Abby Abadi, pernah mendakwa terdapat individu yang cuba menasihatinya agar berdiam diri mengenai isu tersebut, namun dia memilih untuk mengabaikan amaran itu.